Malaysia Dateline

Sarawak lanjutkan PKPB dua minggu lagi bermula esok

Sarawak akan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama dua minggu bermula esok.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, PKPB yang dilaksana itu dibuat berdasarkan nilai situasi kes positif yang masih tinggi di negeri ini.

“PKPB akan bermula pada 27 April jam 12.01 pagi sehingga 10 Mei 2021, 11.59 malam dan langkah ini diambil disebabkan situasi nilai kes Covid-19 yang positif masih tinggi di Sarawak.

“Kita juga memaklumkan bahawa empat lagi kawasan telah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi tempoh dua minggu nanti,” jelas JPBN dalam satu kenyataan.

JPBN menegaskan empat kawasan terbabit ialah Rh. Mut Nanga Maong, Sungai Mujok di Julau, Rh. Robert Ulu Paoh (Sarikei), Rh. Jawa Sungai Kerubong Selalang, (Sarikei) dan Kolej Tingkatan Enam Saratok, Betong.

Kata JPBN, PKPD Rh. Mut, Nanga Maong, Sungai Mujok, Julau telah berkuatkuasa pada 19 April hingga 2 Mei 2021, PKPD Rh. Robert, Ulu Paoh, Sarikei bermula 21 April hingga 4 Mei 2021.

“Bagi PKPD Rh. Jawa, Sungai Kerubong Selalang, Sarikei bermula 22 April hingga 5 Mei 2021 manakala PKPD Kolej Tingkatan Enam, Saratok, Betong pula dilaksana pada 23 April hingga 6 Mei 2021,” ujar JPBN.

Pada masa sama, JPBN turut memberitahu PKPD Sungai Kawi, Sarikei juga dilanjutkan pada 23 April lalu hingga 6 Mei 2021.

“Pelanjutan tempoh PKPD di kawasan tersebut termasuk Rumah Panjang Jugah, Sungai Bulat, Sarikei (24 April hingga 30 April 2021, Kampung Darul Falah, Sungai Gemuan, Bintangor, Sarikei (24 April hingga 7 Mei 2021).

“Turut dilanjutkan ialah Rumah Panjang Jalan Bukut Balingian, Mukah (25 April hingga 8 Mei 2021) dan PKPD Politeknik Mukah (25 April hingga 6 Mei 2021,” tambah JPBN lagi.