Malaysia Dateline

Sarawak mampu jadi penunjuk jalan bagi Malaysia

Pilihan raya negeri (PRN) Sarawak yang tertangguh akhirnya dapat diadakan juga. Dalam kekangan pandemik Covid-19, ia berlangsung dengan segala langkah berhati-hati SOP. Tetapi keputusan umum dirasakan sudah sedia maklum iaitu kemenangan parti yang memerintah wilayah itu sejak Sarawak mengadakan pilihan raya negeri pertama pada tahun 1969.

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang mengetuai Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka akan mudah memenangi pilihan raya negeri itu dan kembali menjadi kerajaan. Sebarang tentangan terhadap mereka dari Pakatan Harapan atau Parti Sarawak Bersatu, PSB tidak akan menjejaskan peluang mereka. Apa yang hanya diambil perkiraan, sejauh mana parti-parti pembangkang mampu mempertahankan atau menambah kerusi Dewan Undangan Negeri.

Apa yang bersejarah dalam PRN ini ialah buat pertama kali parti yang dominan tidak menggunakan lambang serupa dengan gabungan di peringkat persekutuan. Dalam PRN 1969, Perikatan Sarawak yang terdiri daripada Parti Bumiputera Sarawak dan Persatuan Cina Sarawak menggunakan kapal layar sebagai lambang seperti mana Perikatan di Semenanjung dan Sabah.

Dalam PRN 1974, Barisan Nasional Sarawak yang terdiri daripada PBB dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak, SUPP mula menggunakan lambang dacing seperti mana BN di seluruh negara. PBB ditubuhkan pada tahun 1973 dari gabungan Parti Bumiputera dan Parti Pesaka Anak Sarawak.

Tetapi apabila BN kalah pilihan raya umum pada tahun 2018, parti-parti komponennya di Sarawak iaitu PBB, SUPP, Parti Rakyat Sarawak, PRS dan Parti Demokratik Progresif, PDP bertindak keluar dan menubuhkan GPS, dengan lambang burung kenyalang.

GPS tidak mendokong kerajaan PH. Tentulah mudah difahami bahawa GPS mendokong kerajaan Perikatan Nasional dan BN. Parti-parti PH adalah pesaing GPS dalam politik negeri Sarawak. BN dan PN tidak beroperasi di Sarawak.

Namun begitu, kemenangan PH telah membuka ruang dan peluang bagi GPS untuk bebas dan tegas, suatu yang ia tidak peroleh sepanjang berada dalam Perikatan dan BN. Maknanya, kemenangan PH memberi manfaat kepada GPS.

Kedudukan Sarawak dan Sabah sudah berubah sejak tahun 2018. Kini kedua-duanya dikenali sebagai wilayah dan bukan lagi negeri. Kerana untuk memperoleh sokongan dari ahli-ahli Parlimen supaya kerajaan mereka tidak tumbang, maka BN dan sebelum itu, PN akan berusaha memenuhi permintaan GPS.

Tetapi Sarawak mempunyai kedudukan yang lebih bebas berbanding Sabah dalam hubungannya dengan Semenanjung. ini kerana GPS adalah bersendirian sementara di Sabah, Gabungan Rakyat Sabah yang menjadi kerajaan negeri mempunyai parti UMNO dan Bersatu, yang dipimpin dari Semenanjung.

Politik Sarawak juga lebih stabil dan mantap daripada Sabah. PBB terus mendominasi politik sejak tahun 1969. Pergolakan politik hanya berlaku pada sekutu-sekutunya iaitu SUPP dan Parti Kebangsaan Sarawak, SNAP dan pewaris-pewarisnya.

Tetapi Sarawak sepatutnya boleh menjadi lebih baik daripada apa yang ada pada hari ini. Walaupun banyak hasil pembangunan telah dinikmati rakyatnya sejak penubuhan Malaysia, ia patutnya lebih baik.

Terdapat banyak isu yang dipersalahkan kepada kerajaan Persekutuan, secara langsung ia merujuk pada pihak Semenanjung. Tetapi jika melihat pada sejarah politik mutakhir, apa yang berlaku di Malaysia, termasuk Sarawak dan Sabah adalah koloborasi, kerjasama atau pakatan parti yang menguasai kedua-dua wilayah dengan pemimpin Semenanjung.

Sememangnya, pemimpin-pemimpin UMNO campur tangan dalam politik negeri Sarawak dan Sabah sejak pentadbiran Tunku Abdul Rahman lagi. Begitu juga dengan kekuatan kepimpinan Tun Razak dan kemudiannya Hussein Onn dan Mahathir Mohamad. Tetapi tidak ada sesiapa boleh menafikan peranan besar Tun Mustapha dan Haris Salleh di Sabah, serta Abdul Rahman Yaakob dan Taib Mahmud di Sarawak.

Ada satu perspektif yang sering dicanangkan bahawa di Sarawak dan Sabah, toleransi antara kaum dan penganut agama adalah tinggi. Tidak seperti di Semenanjung yang semuanya dilihat dari sudut kaum dan anutan agama.

Namun walaupun keadaan Sarawak dan Sabah itu berbeza daripada Semenanjung, tetapi faktor kaum dan anutan agama tetap berperanan di wilayah-wilayah itu. Lihatlah parti-parti GPS juga mengikut rupa bentuk kaum dan anutan agama. PBB adalah parti Bumiputera dengan orang Islam yang mendominasi. SUPP adalah parti Cina.

Soal kaum dan anutan agama tidak terlepas di mana-manapun di Malaysia. Kerana Malaysia sendiri ditubuhkan atas perkiraan kaum dan agama. Tujuan asal penubuhan negara ini adalah melawan komunisme tetapi untuk melakukannya, ia memerlukan benteng kaum dan agama.

Lebih-lebih lagi acuan politik perkauman yang berlaku di Semenanjung melalui Perikatan secara sedar dan tidak sedar merembes juga ke Sarawak dan Sabah. Maka sewajarnya Sarawak dan Sabah menyederhanakan perkiraan politik kaum yang berlaku di Semenanjung.

Tetapi setelah wujud selama 58 tahun, ancaman komunisme sudah tidak menjadi isu. Antara strategi bagi melawan komunisme dahulu adalah memperkasakan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan.

Bagaimanapun, tanpa ancaman komunis itu lagi, pembangunan hendaklah dilihat dari sudut memenuhi keperluan rakyat. Maknanya hak rakyat terhadap negara adalah bukan saja keamanan tetapi juga kemakmuran.

Tetapi pembangunan itu bukan bererti bangunan dan infrastruktur saja. Ia juga melibatkan nilai-nilai tata rakyat seperti keadilan, integriti dan merapatkan jurang ekonomi dalam masyarakat, iaitu ke arah kesaksamaan sesama warga negara.

Di sinilah perlunya peranan pembangkang yang kuat. Peranan itu kini diambil oleh PSB dan PH yang dianggotai DAP, PKR dan Amanah. Fahaman PH adalah jelas dan konsisten iaitu urus tadbir dengan baik, integriti dan kesaksamaan. Adanya pembangkang adalah perlu bagi semak dan imbang kerajaan yang terdiri daripada parti dominan yang terlalu lama memerintah.

Walaupun PH dianggotai oleh parti yang berpangkalan di Semenanjung tetapi partinya di peringkat negeri mempunyai kebebasan dan autonomi menyatakan pendirian mereka. Tidak ada sebab bagi PH pusat hendak campur tangan.

Dapat difahami bahawa BN menyokong GPS. Mungkin suatu hari GPS kembali menyertai BN.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob membayangkan bahawa rakyat perlu menyokong GPS supaya kerjasama dengan kerajaan pusat, iaitu BN akan lebih mudah. Seolah-olah beliau begitu yakin BN akan kembali berkuasa. Hakikatnya ialah tidak semestinya.

Dalam demokrasi berparlimen, parti yang dominan tidak selamanya memerintah. Generasi berubah dan tidak mustahil kerajaan akan berubah. Pilihan raya umum tahun 2018 walaupun unik, ia boleh berlaku lagi pada masa akan datang.

Generasi baharu dengan kemudahan teknologi maju yang memberikan pendidikan awam lebih terbuka akan mempunyai kemahuan politik yang berbeza. Kesemuanya membuka ruang untuk PSB dan PH dijadikan pilihan bagi menggantikan GPS.

Untuk itu, Sarawak boleh muncul sebagai wilayah lebih progresif daripada Semenanjung. Malaysia tidak semestinya berorientasikan Semenanjung. Tetapi apa yang dicita citakan adalah Malaysia yang progresif, berintegriti dan cekap dengan meninggalkan gaya hidup politik lama yang sudah lapuk dan ketinggalan.

Generasi muda wajar lihat keadaan semasa negara termasuk Sarawak dan menyedari betapa perlunya perubahan yang boleh dilakukan untuk berada pada keadaan lebih baik.

Lebih-lebih lagi Sarawak yang berada di pulau Borneo, iaitu salah satu daripada tiga jantung planet bumi bagi mempertahankan alam sekitar daripada kerosakan diakibatkan oleh kerakusan manusia tanpa integriti.