Malaysia Dateline

Sarawak mampu menjadi pengeksport utama negara

Sarawak mampu menjadi pengeksport utama negara dengan kepelbagaian produk dan perkhidmatan, selain didorong keberanian komuniti perniagaannya meneroka pasaran luar, kata pengarah wilayah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Sarawak, Leany Mokhtar.

Leany dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, bagi mendokong usaha itu, Matrade mengambil inisiatif menganjurkan Hari Eksport Sarawak 2018 di Hotel Kingwood di sini esok.

Katanya, ia bertujuan memberi pendedahan kepada komuniti perniagaan tempatan, khususnya dalam kalangan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) terhadap potensi pasaran global yang boleh diterokai mereka.

“Ia juga antara platform membantu usahawan tempatan melebarkan skop pemasaran produk dan perkhidmatan mereka ke peringkat global serta mempromosikan kemudahan dan fasiliti disediakan kerajaan melalui Matrade termasuk pelbagai insentif bagi menggalakkan aktiviti eksport dalam kalangan usahawan tempatan,” katanya.

Ini, katanya termasuk Program Go Export (Go-Ex), e-Trade, Geran Pembangunan Pasaran (MDG) dan Dana Perkhidmatan Eksport (ESF) yang seharus dimanfaatkan oleh usahawan tempatan.

Penganjuran Hari Eksport Sarawak 2018 turut mendapatkan sokongan Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan e-Dagang Sarawak (MITEC) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI).

Keseluruhannya, terdapat lebih 450 syarikat dari Sarawak berdaftar dengan Matrade membabitkan pelbagai sektor, termasuk automotif, mesin dan peralatan, minya sawit, bahan binaan, produk makanan dan pertanian, selain pembinaan serta baikpulih kapal.

“Matrade menggalakkan lebih banyak syarikat dari Sarawak berdaftar dengan agensi ini bagi membolehkan mereka memperoleh manfaat dari kemudahan dan insentif disediakan.

“Ini termasuk peluang pembangunan eksport, selain aktiviti promosi dan misi perdagangan yang dianjurkan Matrade melalui rangkaian 46 pejabat perdagangannya di seluruh dunia,” katanya.

Leany ketika mengulas lanjut, berkata Matrade juga komited untuk terus mempertingkatkan prestasi eksport Sarawak seperti yang disasarkan kepemimpinan negeri ini, khususnya Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Eksport antara instrumen utama yang menyumbang kepada usaha pengukuhan ekonomi negeri. Kita cukup komited dalam membantu mencapai kadar pertumbuhan lima peratus ekonomi negeri tahun depan seperti yang disasarkan,” katanya.

–BERNAMA