Malaysia Dateline

Sarawak mohon bantuan  Kerajaan Pusat 13 projek ‘sakit’

 

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapa’ee memohon agar Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) untuk membawa isu berkaitan 13 buah sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dikategorikan ‘sakit’.

Menurutnya, pada 2017, kerajaan sebelumnya di bawah pmimpin Barisan Nasional (BN) telah meluluskan peruntukan RM1 bilion kepada kira-kira 1,020 sekolah daif dan 415 buah lagi di kategorikan kritikal keadaannya.

“Dalam bajet berkenaan sejumlah RM419 juta untuk 116 buah sekolah dan daripada jumlah itu 50 sekolah di bawah pelaksanaan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dibelanjakan.

” Sementara 66 buah sekolah lagi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, dengan 13 projek dikategorikan sebagai projek ‘sakit’.

” Oleh demikian, saya memerlukan bantuan daripada Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) untuk membawa isu ini kepada Kerajaan Persekutuan yang mana sebanyak 13 sekolah di bawah KPM dikategorikan sebagai projek sakit,” kata beliau ketika menjawab soalan daripada Abdul Yakup Arbi (GPS-Balingian) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun)Sarawak di Kuching hari ini.

Pada masa sama, beliau memberitahu, kerajaan negeri telah membelanjakan sebanyak RM358.4 juta bagi tujuan pembangunan pendidikan di negeri ini semenjak penubuhan Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi pada 17 Mei 2017.

Jelasnya,daripada jumlah itu, RM342 juta adalah untuk membina infrastruktur serta kemudahan sekolah di samping membina dua sekolah baharu iaitu Sekolah Kebangsaan (SK)Maludam dan SK Ulu Segan.

Selain itu tambah beliau, di bawah inisiatif pembangunan luar bandar pula, sebanyak 60 buah sekolah telah diperbaiki dan RM50 juta adalah bagi membekalkan bekalan elektrik ke sekolah.

Katanya, 33 buah sekolah lagi akan dapat menikmati bekalan air terawat di bawah Lembaga Pembangunan Wilayah Utara manakala sejumlah RM160 juta diperuntukkan untuk memperbaiki sekolah di Lawas dan Limbang

“Untuk pembangunan modal insan, kementerian membelanjakan RM15.7 juta termasuk program kepimpinan sekolah dan melatih guru-guru bagi mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Kementerian juga akan menganjurkan seminar khususnya untuk memperbaiki pengajaran Bahasa Inggeris di kalangan guru untuk digunakan dalam pembelajaran subjek pelajaran STEM.

” Dengan demikian sebanyak RM11 juta telah diperuntukkan bagi tujuan berkenaan,” tegasnya.