Malaysia Dateline

Sarawak mula benarkan masjid, surau dibuka ikut SOP

Sarawak membenarkan seluruh masjid dan surau di negeri itu dibuka dengan jumlah jemaah yang hadir dihadkan mengikut standard operasi prosedur (SOP) ditetapkan bermula hari ini.

Majlis Islam Sarawak (MIS) dalam satu kenyataan berkata, jumlah orang ramai yang hadir solat Jumaat dan fardu di masjid dan surau hendaklah dihadkan untuk membolehkan penjarakan fizikal satu meter dipatuhi.

Jelas kenyataan itu, bagi solat Jumaat di Masjid Jamek Negeri Sarawak, jumlah jemaah adalah tidak melebihi 200 orang pada satu-satu masa selain di masjid bahagian, daerah, daerah kecil, kehadiran kariah ialah 100 dan surau tidak melebihi 50 orang.

“Untuk solat fardu, bilangan jemaah dihadkan kepada 100 orang di Masjid Jamek Negeri Sarawak dan hanya 50 orang di masjid bahagian, daerah, daerah kecil dan surau.

“Semua had jemaah ini adalah termasuk pegawai masjid dan jawatankuasa pengurusan,” tegas kenyataan itu.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan Sarawak kini memasuki fasa ketiga Program Imumnisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan setiap individu berusia 18 tahun ke atas boleh mendapatkan suntikan vaksin masing-masing.

Ujar JPBN, di bawah program ini fasa pertama di Sarawak adalah untuk petugas barisan hadapan manakala fasa kedua bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu mereka yang mempunyai komorbiditi serta warga emas berusia 60 tahun ke atas.

“Semalam, orang ramai boleh pergi mendapatkan suntikan berdasarkan janji temu mereka.

“Dan setakat ini, rakyat Sarawak telah memberikan respon memberangsangkan terhadap program vaksinasi dan ini merupakan perkembangan sangat positif dalam usaha melindungi semua orang,” kata JPBN.

Sehingga semalam Sarawak telah berjaya memvaksinasi sejumlah 855,749 individu di negeri ini.