Malaysia Dateline

Sarawak mula kesan kontak rapat kes positif Covid-19

Sarawak akan menjalankan aktiviti mengesan dan mengenal pasti semua kontak rapat kes positif Covid-19 yang dilakukan oleh Pasukan Bertindak Pertama di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Menerusi kenyataan media JPBN, aktiviti mengesan dan mengenal pasti kontak rapat kes positif COVID-19 ini akan dilaksanakan bermula di Bahagian Kuching hari ini.

Jelas kenyataan itu, tujuannya ialah supaya mereka tampil menjalani ujian saringan dengan kadar segera dalam usaha mengurangkan kes positif Covid-19 di negeri ini.

“Setakat semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) telah mengenal pasti seramai 6,022 kontak di Bahagian Kuching.

“Daripada bilangan itu, seramai 3,538 orang telah menjalani ujian saringan manakala seramai 2,484 orang lagi masih belum menjalani ujian.

“Tindakan ini penting untuk semua kontak ini disaringkan bagi memutuskan rantaian jangkitan dan meratakan lengkung kes Covid-19 di Sarawak,”ujar kenyataan itu.

Kenyataan itu menegaskan, kesemua kontak yang belum menjalani ujian saringan akan dihubungi dan diminta datang untuk menjalani ujian saringan.

“Pegawai-pegawai dari JKNS akan menghubungi kontak-kontak yang dikenal pasti melalui panggilan telefon mulai hari ini bagi memberi arahan yang perlu diambil tindakan seterusnya,” kata kenyataan itu.