Sarawak negeri pertama tandatangan Ikrar Bebas Rasuah

Sarawak negeri pertama tandatangan Ikrar Bebas Rasuah

Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg hari ini mengetuai sembilan menteri dan 18 menteri muda negeri melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Majlis disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kwan.

Selesai majlis Abang Johari mempengerusikan mesyuarat kabinetnya yang pertama di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Sementara itu, SPRM mengucapkan tahniah kepada kerajaan Sarawak yang melakar sejarah sebagai kerajaan negeri pertama menandatangani IBR yang diperkenalkan suruhanjaya itu.

Inisiatif ini memperlihatkan kesungguhan kerajaan Sarawak dalam memastikan pentadbirannya dilaksana dengan lebih telus serta bebas daripada gejala rasuah serta salah guna kuasa, kata SPRM dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini susulan majlis tersebut.

SPRM berkata IBR merupakan satu lagi usaha baharu suruhanjaya yang menekankan kepada ikrar serta janji dalam kapasiti individu oleh mereka yang diamanahkan tanggungjawab agar menghidari diri daripada terlibat dalam sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa sepanjang melaksanakan tugas.

SPRM berharap inisiatif itu dapat memelihara dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap suruhanjaya dan kerajaan Sarawak dalam usaha berterusan untuk memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

COMMENTS

Wordpress (0)