Malaysia Dateline

Sarawak negeri termiskin, bukti GPS gagal mentadbir

Kedudukan Sarawak antara negeri paling mundur dan termiskin di Malaysia adalah bukti bahawa Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS)gagal membangunkan penduduk dan rakyat di negeri ini.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Abun Sui Anyit (gambar) berkata, walaupun GPS yang sebelum ini merupakan komponen Barisan Nasional(BN) telah memerintah selama hampir 57 tahun, namun pentadbiran mereka tetap gagal menyelesaikan banyak isu yang berlarutan sehingga kini.

“BN dan GPS merupakan sebagai parti yang telah lama memerintah Sarawak, yang kaya dengan hasil semulajadi melimpah dan penduduk yang hanya sedikit berbanding negeri lain di Malaysia.

“Dengan itu, Sarawak seharusnya lebih maju berbanding keadaan sekarang kerana selagi BN dan GPS memerintah selagi itulah rakyat Sarawak akan terus mundur walaupun ramai pemimpin politik mereka adalah kaya raya.

“Kemudahan asas infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik 24 jam untuk semua penduduk sepatutnya sudah lama dinikmati oleh rakyat.

“Tetapi semua itu belum dipenuhi sampai sekarang walaupun GPS telah memerintah Sarawak lebih 57 tahun,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan pemimpin GPS, Datuk Abdul Karim Hamzah berkaitan 10 tawaran daripada PKR untuk rakyat dan penduduk di negeri ini.

Semalam, Abdul Karim mendakwa 10 tawaran berkenaan adalah retorik semata-mata berdasarkan penafian dan tiada bukti yang dilaksanakan oleh PKR Sarawak.

Bagaimanapun, Abun menegaskan, PKR Sarawak dan rakan dalam Pakatan Harapan (PH) belum diberi peluang memerintah di Sarawak, maka adalah tidak betul untuk mengatakan PKR berjanji kosong.

Ini kerana, menurutnya PKR belum lagi mendapat mandat rakyat dan sudah tentunya janji-janji tidak dapat dilaksanakan sebelum ini.

Seterusnya beliau menjelaskan berkaitan hak rakyat terutamanya penduduk orang asal ke atas Tanah Adat mereka juga semakin terhakis, malah tidak dipertahankan oleh pemimpin GPS.

“Kepercayaan yang diberi oleh rakyat khususnya penduduk di pedalaman selama ini kepada GPS telah dibalas dengan pemberian lesen sementara dan lesen-lesen pembalakan ke atas tanah adat rakyat yang tidak membawa keuntungan kepada rakyat yang terjejas.

“Dan, ia turut merosakkan hutan simpanan penduduk yang disimpan di bawah adat Pulau Galau untuk bekalan anak cucu mereka pada masa akan datang,” soalnya lagi.

Tambahnya, kemudahan jalan raya yang baik atau bertar tidak dibina seperti jalan raya yang menuju Jelalong, Tegulang dan Metalun, Murum walaupun kawasan berkenaan telah mengeluarkan hasil balak untuk kerajaan selama ini.

Katanya, sehingga ke hari ini di kawasan terbabit masih tiada mempunyai jalan raya bertar walaupun BN dan GPS telah berjanji berkali-kali selama 57 tahun lepas.

“GPS merasakan mereka sangat kuat dan tidak akan kalah dalam pilihan raya menyebabkan pemimpinnya menjadi leka dan akan terus mengabaikan serta sengaja tidak memajukan Sarawak lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar.

“Sikap pemimpin seperti ini perlu diajar oleh rakyat melalui peti undi agar merehatkan malah menguburkan mereka dalam pilihan raya akan datang kerana hampir 57 tahun memerintah GPS ternyata terbukti gagal,” katanya.

Justeru, katanya PKR Sarawak bertekad untuk memajukan negeri ini seperti di Selangor yang ditadbir oleh PKR dan PH yang merupakan negeri termaju di Malaysia jika diberi peluang memerintah Sarawak selepas PRN Ke-12 akan datang.

“Kita bersama-sama rakan PH di negeri ini akan berusaha sedaya upaya memperjuangkan hak-hak rakyat Sarawak yang telah diabaikan dan hilang semasa pemerintahan GPS antaranya isu Tanah Adat Pemakai Menua dan Pulau Galau rakyat jika diberi peluang mentadbir Sarawak nanti,” katanya.