Malaysia Dateline

Sarawak rekod 15 lagi kes orang  disyaki COVID-19

Sarawak terus merekodkan 15 lagi kes orang disyaki dijangkiti COVID-19 setakat semalam termasuk dua yang melibatkan warganegara Vietnam.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Negeri Sarawak, sebanyak lapan kes direkodkan di Hospital Umum Sarawak, enam lagi dicatatkan di Hospital Bintulu dan satu di Hospital Sibu.

Sekretariat itu berkata, dengan kes baharu berkenaan, Sarawak kini telah merokodkan merekodkan sejumlah 148 kes orang disyaki sejak 10 Januari lalu.

“119 kes terdiri daripada warganegara Malaysia, 22 orang warga Republik Rakyat China (PRC), dua orang Vietnam, Thailand (1), Indonesia (1), Pakistan (1), Kanada (1)dan seorang dari Australia.

“Manakala 134 kes termasuk satu daripada 15 kes baru semalam diuji negatif serta14 kes lagi sedang menunggu keputusan ujian makmal,” katanya menerusi kenyataan di Kuching hari ini.

Pada masa sama, jelasnya Jabatan Kesihatan Negeri pada Ahad lalu turut mengimbas seramai 19,660 pelawat yang di beberapa lapangan terbang, pintu masuk darat dan laut di seluruh negeri sekali gus menjadikan jumlah yang diimbas sejak 1 Februari adalah seramai 309,663.

Sehubungan itu, ujar kenyataan itu lagi, orang ramai yang bercadang untuk melawat negara-negara terjejas COVID-19 seperti China, Korea Selatan, Itali, Jepun dan Iran dinasihat untuk menangguhkan perjalanan mereka buat masa ini, selain mengamalkan tahap kebersihan diri pada setiap masa.