Sarawak Report terlambat, ramai percaya saya pembunuh Kevin Morris, kata Najib

Sarawak Report terlambat, ramai percaya saya pembunuh Kevin Morris, kata Najib

Datuk Seri Najib Razak menyifatkan cubaan Sarawak Report membersihkan namanya sudah terlambat.

Bekas perdana menteri itu berkata ramai yang sudah percaya beliau mempunyai kaitan dalam kes pembunuhan timbalan pendakwa raya Datuk Anthony Kevin Morais.

“Setelah tiga tahun Sarawak Report yang berulang kali mendakwa saya bertanggungjawab terhadap kematian Morais, mereka tiba-tiba menaikkan artikel semalam [kelmarin] yang berkata mereka tidak lagi pasti.

“Sarawak Report adalah blog pertama membuat fitnah kononnya Morais dibunuh lima minggu selepas mendiang kononnya merangka kertas pertuduhan terhadap saya.

“Pengakuan Sarawak Report itu sudah lewat. Blog itu sudah berjaya mempengaruhi ramai dengan penipuan dan fitnah jahat bahawa saya adalah pembunuh,” tulisnya di laman Facebook semalam.

Ahli Parlimen Pekan berkata Sarawak Report menerusi artikel terbaru mendakwa tidak lagi pasti bahawa Morais ialah orang yang merangka kertas pertuduhan terhadapnya.

Katanya, portal itu juga mendakwa tidak pernah menyatakan kematian Morais dan kes salah laku 1Malaysia Development Berhad mempunyai kaitan.

“Paling menjengkelkan ialah apabila Sarawak Report kini menulis: ‘Nampaknya usaha Najib untuk mengenepikan penglibatan Morais akan dapat membuang segala motif pembunuhan yang berkait dengan tuduhan yang dibuat ke atas bekas perdana menteri itu. Beliau (Najib) mungkin betul,” katanya.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote