Malaysia Dateline

Sarawak saman Petronas berhubung cukai jualan negeri

Kerajaan Sarawak memfailkan saman terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) selepas syarikat berkenaan gagal membayar cukai jualan lima peratus terhadap produk petroleum yang dikuatkuasakan di negeri ini.

Writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata tindakan undang-undang itu diambil untuk menuntut cukai jualan negeri yang belum dibayar oleh syarikat minyak dan gas negara kepada negeri itu.

“Seperti yang telah dinyatakan beberapa kali sebelum ini, Petronas belum membayar Cukai Jualan Negeri bagi produk petroleum di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998.

“Menyebabkan kerajaan negeri tiada pilihan lain kecuali memulakan tindakan perundangan bagi menuntut cukai jualan yang tidak dibayar itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan jumlah yang dituntut daripada Petronas.

Sebanyak lima peratus cukai jualan negeri dikenakan bermula 1 Jan tahun ini dan Petronas dikatakan satu-satunya syarikat minyak dan gas yang beroperasi di negeri ini yang belum membayar cukai jualan.– BERNAMA