Malaysia Dateline

Sarawak tangani kepulangan pelajar dengan SOP tersendiri

Sarawak akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) tersendiri untuk menangani perihal kepulangan pelajar dari luar negara atau negeri lain dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, pelajar dari luar negara yang telah menjalani kuarantin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) haruslah menjalani ujian lain setelah kembali ke Sarawak dan akan diasingkan di hotel yang ditetapkan terlebih dahulu.

“Selepas keputusan ujian mereka keluar dan disahkan negatif, maka mereka akan dibenarkan pulang dan akan dipantau di rumah (home surveillance) selama tujuh hari seterusnya,” kata JPBN dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas kenyataan itu, bagi pelajar yang belum dikuarantin setelah balik dari luar negara atau negeri, mereka dikehendaki menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan.

Kata kenyataan itu, ini kerana baru-baru ini terdapat dua kes yang mana pelajar-pelajar yang balik dari luar negara disahkan positif Covid-19 iaitu dua dari Amerika Syarikat manakala seorang lagi dari Kuala Lumpur.

“Proses sama akan dilakukan untuk pelajar Sarawak dari Semenanjung, Sabah dan Labuan.

“Manakala, bagi pelajar yang berasal dari kawasan zon hijau di Sarawak akan dikuarantin di tempat ketibaan selama 14 hari sebagai langkah mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.

“Sebagai contoh, jika mereka mendarat di Kuching, mereka akan di kuarantin di Kuching dan kita akan membenarkan mereka pulang apabila keputusan menunjukkan negatif, kerana kawasan tempat tinggal mereka adalah hijau,” ujar kenyataan itu lagi.