Malaysia Dateline

Sarawak tangguh larangan merokok

Kerajaan negeri Sarawak menangguhkan larangan merokok di semua premis makan yang penguatkuasaannya bermula semalam di seluruh negara, sementara menunggu keputusan oleh Kabinet negeri, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datuk Dr Sim Kui Hian.

Beliau berkata sungguhpun kerajaan negeri sependapat dengan Kerajaan Persekutuan dalam undang-undang anti merokok, ia mempunyai ordinan kerajaan tempatan sendiri berhubung aktiviti merokok.

Hakikatnya pada dua tahun lepas, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) melaksanakan kempen anti merokok di kopitiam menerusi undang-undang kecil kerajaan tempatan mereka sendiri, tetapi malangnya tidak semua majlis tempatan di Sarawak melakukan perkara sama.

“Elakkan daripada dikelirukan oleh pihak tertentu bahawa kami menghalang undang-undang persekutuan daripada dilaksanakan di negeri ini,” kata Kui Hian kepada Bernama pada Selasa.

Beliau difahamkan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) di bawah Kementerian Kesihatan akan memanggil pemegang kepentingan terutamanya pengusaha kopitam untuk membincangkan Undang-undang Anti Merokok Persekutuan yang baru diwartakan (24 Disember 2018) dan pelaksanaannya.

Kui Hian berkata satu pertemuan telah diadakan membabitkan JKNS, kementerian beliau, dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak pada 28 Disember tentang perkara yang perlu dilakukan Sarawak berhubung pelaksanaan dan isu berkaitan penguatkuasaan larangan itu di pihak majlis tempatan.