Malaysia Dateline

Sarawak tangguh sesi persekolahan di sembilan daerah sehingga 14 Mac

Sarawak menangguhkan sesi persekolahan di sembilan daerah di negeri ini bermula 1 hingga 14 Mac depan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam satu kenyataan berkata,
penangguhan itu membabitkan Daerah Kuching, Samarahan, Julau, Meradong, Sibu, Kapit, Bintulu, Subis dan Miri.

Kata JPBN, keputusan diambil setelah perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak berikutan kapasiti sistem kesihatan di kawasan yang terlibat.

“JPBN juga telah mewujudkan satu jawatankuasa di bawah Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak bagi memastikan sesi persekolahan di seluruh negeri Sarawak dapat berjalan dengan lancar dan selamat,” jelas JPBN.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin telah mengumumkan pembukaan sekolah secara bersemuka di seluruh negara bermula 1 Mac ini.

Pada masa sama, JPBN turut memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak dilanjutkan untuk tempoh 14 hari berkuatkuasa 1 hingga 15 Mac depan.

JPBN menegaskan, lanjutan tempoh PKPB ini dibuat susulan situasi kes positif yang semakin meningkat di negeri ini.

“PKPB di Sarawak berkuatkuasa 1 Mac 2021 jam 12.01 pagi hingga 15 Mac 2021 jam 11.59 malam.

“Malah, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Dipekatkan (PKPD) bagi Skim Penempatan Semula Sentosa, Fasa 2 di Sibu turut dilaksanakan di kawasan berkenaan berikutan penambahan kes yang yang ketara.

“PKPD bagi Sentosa, Sibu berkuatkuasa bermula malam tadi (12.01 pagi) sehingga 12 Mac 2021 (11.59 malam),” kata JPBN.