Sarawak terima peruntukan terbesar selepas 50 tahun

Sarawak terima peruntukan terbesar selepas 50 tahun

Sarawak menerima peruntukan terbesar selepas 50 tahun apabila Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) menggandakan Geran Khas untuk rakyat di negeri ini.

Pengerusi Parti AMANAH Sarawak, Mohamad Fidzuan Zaidi berkata, sebanyak RM32 juta telah diperuntukkan untuk Sarawak pada tahun 2020 dan kadar tersebut akan digandakan sejumlah RM64 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Salah satu teras utama Belanjawan 2020 ialah Sarawak akan mendapat bahagian terbesar iaitu sebanyak RM4.4 bilion.

“Ini adalah kelemahan yang paling nyata ketika era Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak pernah menyemak jumlah peruntukan untuk negeri ini semenjak1969 sekali gus merupakan kegagalan pihak Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dahulunya adalah Barisan Nasional Sarawak) untuk membawa keperluan dan suara rakyat Sarawak ke dalam perhatian pihak Kerajaan BN Pusat sebelum ini.

“Selepas pembentangan Belanjawan 2020 semalam, barulah kita mengetahui tentang perkara ini ibarat ‘tergadai dan terbiar’ oleh Kerajaan BN selama 50 tahun lamanya,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika mengulas Pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Sidang Parlimen semalam.

Mohamad Fidzuan berkata, sebelum semakan, Sarawak hanya menerima sebanyak RM16 juta dalam Pemberian Khas Tahunan daripada Kerajaan Pusat selama 50 tahun sebelum ini.

Antara lain yang terkandung di dalam Belanjawan 2020 khususnya kepada Sarawak adalah termasuk peruntukan bagi menyokong infrastuktur Taman Industri Samalaju sebanyak RM55 juta.

Tambahnya, peruntukan lain yang diterima Sarawak termasuk Sabah ialah RM250 juta untuk akses jalur lebat teknologi satelit pembangunan infrastrutur untuk Projek Bekalan Air Luar Bandar RM470 juta dan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar yang bernilai RM500 juta.

“Terimakasih kepada Kerajaan PH yang begitu amat prihatin dengan kegelisahan rakyat Sarawak dalam menghadapi arus pembangunan yang jauh ketinggalan walaupun sudah 56 tahun mengecapi kemerdekaan di bawah kuasa BN Sarawak, ” ujarnya.

Semalam, Menteri Kewangan telah membentang Belanjawan 2020 yang bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan Dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’.

Belanjawan 2020 kali ini agak menarik kerana kerajaan telah membentangkan peruntukan perbelanjaan yang kurang RM17.1 bilion berbanding Belanjawan 2020.

Namun, ia tidak memperlihatkan pengurangan komitmen kerajaan untuk terus memacu perkembangan ekonomi Malaysia terutamanya sektor PKS.