Malaysia Dateline

Sarawak tiada catat kes positif hari keempat berturut-turut

Sarawak terus mencatatkan tiada sebarang kes positif Covid-19 dilaporkan hari keempat berturut-turut hari ini.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, setakat petang ini jumlah kes positif Covid-19 di Sarawak adalah kekal seramai 544 kes.

Bagi kes baru yang telah sembuh dan discaj dari hospital ialah sebanyak empat kes.

“Kesemua empat kes tersebut adalah dari Hospital Umum Sarawak sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes postif Covid-19 yang telah sembuh dan discaj ialah seramai 432 kes atau 79.41%,” kata JPBN dalam satu kenyataan di Kuching petang ini.

Jelas kenyataan itu, tujuh PUI baru dilaporkan dan seramai 29 kes masih menunggu keputusan makmal.

Sementara itu, kenyataan JPBN turut memberitahu Ibu Pejabat Daerah Polis Diraja Malaysia (IPD PDRM) di seluruh Sarawak terus menerima permohonan rentas daerah, menjadikan permohonan terus meningkat hari ini.

“Setakat ini jumlah permohonan rentas daerah yang diterima telah mencecah sebanyak 26,992 permohonan.

“Dan pada hari ini dicatatkan sebanyak 4,944 jumlah permohonan pergerakan antara daerah yang telah diterima di 28 buah Ibu Pejabat Daerah PDRM seluruh Sarawak.

”Ini menjadikan jumlah kumulatif permohonan ialah sebanyak 26,992. Namun daripada jumlah kumulatif itu, sebanyak 25,237 telah diluluskan dan 1,755 ditolak.” kata kenyataan itu.