Malaysia Dateline

Sarawak tidak benarkan ‘Ngabang’ Gawai Dayak

Sarawak mengambil keputusan tidak membenarkan acara ‘ngabang’ atau ziarah ketika sambutan Hari Gawai Dayak yang bermula 1 Jun ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataannya berkata, ‘ngabang’ tersebut termasuk bagi mereka yang mahu ngabang dari rumah ke rumah dan dari sebuah rumah panjang ke rumah panjang yang lain.

“Kita tidak membenarkan acara ‘ngabang’ sempena sambutan Hari Gawai Dayak 1 Jun ini bagi mengelak penularan wabak Covid-19 serta masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” ujar kenyataan itu.

Pada masa sama, JPBN memohon semua pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tempatan yang telah balik baru-baru ini, diminta untuk menjalani saringan Covid-19 di bahagian masing-masing.

“Mereka akan dihubungi oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) dan ini adalah bagi pelajar yang belum membuat saringan Covid-19,” kata kenyataan itu

Menurut kenyataan itu lagi, JPBB bersama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mempertingkatkan keupayaan pasukan penjejakan kontak bagi membolehkan mereka mengesan dengan secepat mungkin kontak rapat kepada kes positif yang baharu.

“Semua pelajar yang telah diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah diminta untuk terus berada di rumah dan tidak dibenarkan keluar,” jelas kenyataan itu.

Mengulas lanjut, sekiranya didapati berada di tempat awam, mereka akan diambil tindakan oleh pihak berkuasa di bawah Ordinan Perlindungan Kesihatan Awam 1999: Perintah Perlindungan Kesihatan Awam (Langkah-langkah Menjalankan Aktiviti di Kawasan Jangkitan Tempatan) (No. 2), 2020 bertarikh 13 Mei.

“Dibuat di bawah seksyen 15: 3, sesiapa yang diminta untuk mematuhi sebarang langkah ditentukan oleh menteri untuk tujuan pemantauan pergerakannya di dalam negeri.

“Kedua, ukuran di para (1) di atas mungkin termasuk penggunaan penandaan elektronik atau cara lain seperti yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dengan kelulusan menteri,” katanya.