Malaysia Dateline

Sarawak tidak benarkan solat Aidilfitri di kawasan PKPD

Semua kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sarawak adalah tidak dibenarkan mengadakan Solat Sunat Aidilfitri di majid dan surau.

Menurut kenyataan Majlis Islam Sarawak (MIS), turut tidak dibenarkan ialah ziarah rumah terbuka dan aktiviti pergi ke kubur.

“Bagi kawasan PKPD, semua aktiviti sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah tidak dibenarkan termasuk sunat Aidilfitri di masjid dan surau tetapi boleh dilaksanakan di rumah masing-masing bersama ahli keluarga sahaja.

“Turut tidak dibenarkan di kawasan PKPD sepanjang Hari Raya Aidilfitri adalah ziarah Hari Raya dan ziarah kubur,” tegas MIS.

Bagaimanapun di kawasan lain selain PKPD, MIS telah memutuskan beberapa aktiviti dibenarkan iaitu takbir Hari Raya di masjid dan surau bermula selepas solat Maghrib 1 Syawal (malam) dan tidak melebihi jam 10 malam.

Tegas MIS, jemaah yang dibenarkan hadir untuk solat adalah mengikut bilangan jemaah dengan mematuhi penjarakan fizikal (1 meter) berdasarkan had kapasiti ruang keluasan masjid atau surau.

“Untuk ziarah Hari Raya ia dibenarkan di zon Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sahaja bagi keluarga terdekat.

“Bagi tempoh ziarah Hari Raya adalah mulai 1 hingga 7 Syawal sahaja dengan had pengunjung (keluarga terdekat) dalam sesuatu masa ialah 50 peratus kapastiti mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal.

“Namun, ziarah kubur tidak digalakkan berdasarkan penilaian risiko kes COVID-19 semasa,” jelas MIS

Kata MIS lagi, orang ramai digesa supaya mematuhi Garis Panduan Aktiviti Ziarah Pusara yang dikeluarkan pada 8 April 2021 oleh pihaknya.

“Orang ramai mestilah menjaga penjarakan fizikal (1 meter), sentiasa menggunakan pelitup separuh muka dan tidak bersalaman dan tempoh ziarah satu pusara hendaklah tidak melebihi tempoh 20 minit.

“Dan ziarah satu pusara hendaklah tidak melebihi bilangan kehadiran seramai lima orang ahli waris atau keluarga terdekat sahaja,” ujar MIS.