Malaysia Dateline

Sarawak tidak wajibkan pemakaian pelitup muka

Sarawak memutuskan untuk tidak mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka dengan mengambil kira situasi di negeri ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, pihaknya telah berbincang dengan panjang lebar mengenai pemakaian pelitup separuh muka dan bersetuju bahawa pemakaiannya adalah perlu ketika berada di kawasan yang sesak dengan orang ramai seperti pasar dan sebagainya.

“Tetapi dengan situasi di Sarawak khususnya di kawasan luar bandar, keadaan adalah lebih mendesak yang mana penduduknya adalah tidak ramai.

“Oleh demikian, kita telah memutuskan untuk tidak mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka,” kata JPBN.

Justeru, JPBN menasihati orang ramai supaya sentiasa memakai pelitup separuh muka sekiranya berada di tempat awam, pusat membeli belah, pasar, kedai makan dan runcit.

Jelas JPBN lagi, pemilik premis perniagaan berhak untuk tidak membenarkan pelanggan mereka berurusan di premis tersebut jika didapati tidak memakai topeng penutup muka.

“Pada masa sama, kita juga akan mendapatkan khidmat nasihat pakar perubatan yang telah mengkaji pemakaian pelitup separuh muka yang boleh diguna semula.

“Bagaimanapun, menurut pakar perubatan terdapat pelbagai jenis pelitup muka yang boleh digunakan semula dan kita akan memperkenalkan jenis-jenis pelitup muka berkenaan itu nanti,” kata JPBN.