Malaysia Dateline

Sarawak turut laksana menguatkuasakan larangan merokok

Kerajaan Negeri Sarawak akan turut menguatkuasakan larangan merokok di semua premis makanan bermula 1 Januari 2020.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datu Dr Penguang Manggil dalam satu kenyataannya berkata, ia akan dikuatkuasakan sepenuhnya oleh Jabatan Kesihatan Negeri.

Katanya, Kabinet Negeri telah lama memutuskan untuk mematuhi undang-undang persekutuan seperti dikehendaki oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jelas beliau lagi, kerajaan negeri akan membantu dalam apa juga cara terutamanya dalam mendidik orang ramai tentang larangan merokok di premis-premis makanan dan tempat awam yang telah ditetapkan.

Oleh demikian, beliau menggesa semua premis makanan di seluruh negeri ini dan juga orang awam untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan mengenai penguatkuasaan penuh larangan tersebut.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata Sarawak tidak dikecualikan daripada penguatkuasaan sepenuhnya larangan merokok di semua premis makanan bermula 1 Januari 2020.

Beliau berkata adalah wajib bagi Sarawak untuk melaksanakan penguatkuasaan penuh mulai tahun hadapan sambil menambah bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai autonomi untuk memutuskan agar tidak melaksanakan dasar berkenaan.

Mereka yang merokok di kawasan larangan boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjarakan selama dua tahun. Larangan merokok adalah komitmen Malaysia sebagai negara anggota kepada Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau.