Sarawak yang ajaib

Sarawak yang ajaib

Menarik mengenai Sarawak iaitu dua perkara. Satu makanannya dan keduanya ialah kesantunan orangnya.

Kawan saya Mohd Rozini yang tinggal di Sarawak selama hampir sembilan tahun menyetujui tentang dua perkara ini.

Semasa kecil momokan tentang Sarawak ialah masyarakat ulu yang akan memandang kita dengan muka bengis dan bertato. Lirikan matanya yang tajam menanti untuk menyumpit kalau tidakpun dipanah.

Semua itu hilang sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Saya dijemput oleh seorang rakan yang sangat baik hati yang bersungguh mengajak saya ke Sarawak untuk saya merasainya sendiri.

Saya dibawa ke sebuah Cafe. Kopi O Cafe. Tidak jauh dari lapangan terbang itu. Sesampainya di cafe itu, saya terus bertanyakan tentang Mee Kolok dan Laksa Sarawak. Keduanya saya terus merasa sebaik pesanan saya sampai.

Menariknya, kedua-duanya adalah sedap. Kena dengan tekak tanpa kesangsian. Berbanding Sabah, tekak saya lebih bahagia dengan makanan Sarawak. Ia hampir menyamai dengan makanan Kelantan, manis dan masin teradun bersama.

Saya juga mendapat undangan daripada Cikgu Ruzuki untuk makan malam di rumahnya. Tentunya ikan terubuk bakar menjadi menu utama. Ikan terubuk yang penuh dengan telur, segar dari laut Sarawak dicicah dengan air asam. Sungguh tidak terlupakan.

Masyarakat Sarawak juga sangat menghormati tetamu. Santun dan mesra. Apabila ditanyakan sesuatu, pasti akan diserikan dengan jawapan yang penuh informasi dan ikhlas.

Mereka bahagia dengan kehadiran tetamu. Kepelbagaian bangsa dan agama tidak menjadikan mereka berkelahi dan berpuak malah kepelbagaian ini lebih menuntut mereka menghormati antara satu sama lain.

Sering saya perhatikan, mereka akan bersama sepanjang melakukan aktiviti harian. Di pasar, di kedai makan dan di mana-mana sahaja. Bagi mereka, tiada perbezaan antara satu sama lain.

Dua perkara terpenting apabila ke Sarawak ialah kek lapis dan gambir Sarawak. Kek lapis Sarawak sangat unik kerana keenakannya serta sukar untuk mendapatnya di semenanjung. Begitu juga dengan gambir Sarawak. Gambir ini berasal dari pohon herba yang katanya hanya ada di Sarawak.

Dari segi politik, masyarakat Sarawak agak unik. Walaupun di bawah Barisan Nasional namun Umno tidak sesekali dibenarkan bertapak di Sarawak.

Selain itu, saya tidak nampak kelibat Bangladesh atau Indonesia di Sarawak. Kerajaan Sarawak tidak membenarkan pendatang asing berkeliaran di seluruh Sarawak. Jika mereka pekerja ladang, mereka akan ditempatkan di kawasan ladang tanpa boleh keluar sesuka hati. Ini satu perkara yang harus dicontohi oleh kerajaan persekutuan.

Saya sangat berharap pada kunjungan akan datang, saya akan berkesempatan ke rumah panjang. Kalau boleh yang diperbuat daripada buluh. Tentu banyak cerita saya akan kongsikan lagi.

-thehjOsaMa-

CATEGORIES