Malaysia Dateline

Saringan air kencing kenalpasti pelajar terlibat dadah, kata Exco

 Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan terus menjalankan program pengesanan awal penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar dengan melaksanakan ujian saringan air kencing.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia Negeri Johor, Aminolhuda Hassan berkata sehingga hari ini, 138 daripada 278 sekolah di negeri ini terlibat dalam program berkenaan dengan 4,799 pelajar telah menjalani ujian.

Daripada jumlah itu, 82 pelajar didapati positif dadah, yang kebanyakannya membabitkan pil estacy serta methamphetamine.

Menurut Aminolhuda, walaupun terdapat pelajar yang positif bahan terlarang itu, namun ia masih boleh dikawal memandangkan mereka masih di peringkat awal dan beberapa langkah akan diambil untuk memastikan pelajar terlibat tidak terus terjebak sehingga mempengaruhi pelajar lain.

“Kami di pihak JPN Johor bekerjasama dengan pihak AADK untuk memberikan kaunseling kepada pelajar berkenaan, ibu bapa mereka akan turut dimaklumkan serta pergerakan harian mereka ini akan turut dipantau.

“Dalam masa yang sama, langkah pemulihan juga akan dilaksanakan bagi pelajar yang terlibat ini,” katanya selepas program [email protected] Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putra, Tongkang Pechah di sini yang turut dihadiri Pengarah AADK Johor, Azli Ubin.

Menurut beliau lagi, buat masa ini, 50 pelajar dari setiap sekolah akan menjalani ujian saringan berkenaan berdasarkan beberapa kriteria merangkumi aspek disiplin, terbabit ponteng sekolah dan prestasi akademik yang merosot.– BERNAMA