Sasar 500 usahawan jahitan kreatif menjelang 2020

Sasar 500 usahawan jahitan kreatif menjelang 2020

Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) menyasarkan melahirkan kira-kira 500 orang usahawan jahitan kreatif menjelang tahun 2020, kata Pengerusinya Fully Chye.

Setakat ini menurutnya, persatuan itu telah berjaya melahirkan seramai 120 orang usahawan daripada 5,000 anggotanya di seluruh negara sejak penubuhannya 12 tahun lepas.

“Seramai 120 usahawan yang saya gelar usahawan ‘buatan tangan’ (jahitan kreatif) ini telah berjaya mendapat purata pendapatan RM1,500 hingga RM3,000 sebulan.

“Sasaran persatuan adalah melahirkan seramai 500 usahawan ini menjelang 2020 dengan pendapatan purata RM3,000 sebulan,” katanya pada Bernama selepas pelancaran Program Memperkasa Wanita 4K (Keluarga, Kerjaya, Kesihatan dan Kemasyarakatan) di sini, hari ini.

Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah merangkap Penaung PSJKM telah berkenan hadir merasmikan program empat hari itu yang diadakan di Sky Park, Subang Jaya, bermula hari ini .

Menurut Chye, hampir sebahagian daripada anggota persatuan itu terdiri daripada golongan suri rumah, ibu tunggal dari B40, Orang Kelainan Upaya dari pelbagai bangsa dan juga Orang Asli.

“Mereka ini akan hadiri kelas dan diberi ilmu pengetahuan tentang seni jahitan kreatif yang mana mereka boleh aplikasikannya untuk menjadi hasil produk kraf yang boleh menjana pendapatan,” katanya.

Menurut Chye, program kali ini menyasarkan lebih 2,000 pengunjung dan merupakan platform bagi PSJKM membantu anggota persatuan untuk menjana pendapatan melalui hasil tangan dan kraf seperti jahitan, tenunan dan batik.

Antara yang menarik perhatian pada program itu ialah pameran 8,509 beg buatan tangan yang diiktiraf ‘Malaysia Book of Records’ sebagai pameran beg buatan tangan terbanyak di Malaysia.

Selain itu, turut diadakan jualan istimewa fabrik dan aksesori serta bengkel seni jahitan kreatif.

— BERNAMA