Malaysia Dateline

Sasaran 18 Dun rawat duka AMANAH Johor

AMANAH Johor meletakkan sasaran untuk bertanding sebanyak 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) selepas hanya diperuntukkan hanya dua kerusi Parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

Naib Ketua Pemudanya, Mohd Azam Mektar berkata, jumlah tersebut walaupun dilihat banyak tetapi sebenarnya melambangkan proses tolak ansur dalam Pakatan Harapan.

“Tuntutan AMANAH Johor ini sebenarnya tidak keterlaluan selepas kami cuma diberi dua kerusi Parlimen.

“Sasaran itu juga mahu melihat semangat muafakat dan timbang rasa daripada rakan-rakan Pakatan Harapan yang boleh merawat duka kami,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Menurutnya, keputusan agihan kerusi Dun yang saksama boleh dianggap sebagai sinar matahari kepada AMANAH di selatan tanah air itu.

“Jangan diharap sinar mahatari tapi sebaliknya berlaku gerhana matahari,” katanya yang juga Setiausaha Pemuda Pakatan Harapan Johor.

Difahamkan rundingan berkaitan agihan kerusi di peringkat Dun akan dimuktamadkan selewat-lewatnya pada 19 Januari ini.

Mengulas lanjut tentang agihan kerusi Parlimen, Azam meluahkan agak sukar AMANAH Johor pada mulanya untuk memahami rasional di sebalik keputusan tersebut.

“Namun, demi kepentingan rakyat yang mendambakan perubahan, kami cuba juga memujuk hati.

“Lagipun, pengundi terutama di Johor tentu mahu melihat kestabilan dan kerjasama yang baik dalam Pakatan Harapan,” katanya.

Menurutnya, agihan seimbang sesama parti komponen Pakatan Harapan penting supaya tiada mana-mana parti dianggap lemah dan naif.

“Kita bimbang orang ramai tidak faham dan salah anggap tentang makna ‘pengorbanan’ dan sifat ‘murah hati’ AMANAH yang memudahkan rundingan diputuskan seperti yang disebut Tun Mahathir (Pengerusi Pakatan Harapan) semalam,” jelasnya.

Lanjut tentang agihan hanya dua kerusi Parlimen kepada AMANAH di Johor, Azam memberitahu masing-masing ada kelebihan dan cabarannya.

“Di Johor, Parlimen Pulai adalah (kerusi) marginal. Parit Sulung memerlukan gelombang besar,” ujar Azam lagi.

Paling banyak mendapat agihan Parlimen di Johor adalah PPBM iaitu 10 kerusi diikuti lapan kerusi untuk PKR manakala DAP diberi enam kerusi Parlimen.

Semalam, Konvensyen Pakatan Harapan mengumumkan PPBM diperuntukkan paling banyak kerusi Parlimen iaitu sebanyak 52 kerusi walaupun kali pertama bertanding atas platform pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Agihan bagi 165 kerusi di seluruh Semenanjung itu juga menyaksikan PKR memperoleh cuma kurang satu kerusi berbanding PPBM diikuti DAP (35) dan AMANAH hanya 27 kerusi.

Bagaimanapun, jumlah kerusi Parlimen yang ditandingi PKR dan DAP itu akan jauh lebih banyak apabila dicampur dengan kerusi Sabah dan Sarawak selepas rundingan kerusi di kedua-dua negeri Borneo itu dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.

Foto atas: Azam Mektar (depan sekali paling kanan) anggap tuntutan 18 Dun rawat duka AMANAH Johor.