Kementerian Kesihatan menjangkakan berlaku peningkatan jumlah individu yang akan berhenti merokok pada tahun ini.

Menurutnya, dengan penguatkuasaan yang dilaksanakan pada tahun ini, pihaknya menjangkakan jumlah tersebut terus bertambah.
“Setakat ini seramai 18,660 perokok berjaya berhenti merokok melalui program yang dijalankan di bawah Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Gunung Rapat seperti dipetik Sinarharian hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai penguatkuasaan larangan merokok, Boon Chye berkata, sebanyak 612 premis diperiksa di Perak dengan 42 saman dikeluarkan membabitkan seramai 26 individu dan 10 premis.
Daripada jumlah tersebut, beliau berkata, seramai enam individu berumur 18 tahun ke bawah turut dikompaun kerana menghisap rokok atau memegang hasil tembakau dan beliau menyifatkan kegiatan individu bawah umur dengan aktiviti merokok sebagai membimbangkan.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Boon Chye berkata, pemberian vaksin pneumokokal secara percuma kepada semua kanak-kanak menerusi Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) yang diumum pada Belanjawan 2020 akan bermula pada Jun tahun ini.
“Pemberian vaksin pneumokokal ini hanya akan diterima oleh bayi yang lahir bermula 1 Januari 2020.
“Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM60 juta untuk program vaksin pneumococcal ini dan kita masih dalam proses perolehan ubat tersebut,” katanya.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober 2019 mengumumkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM30.6 bilion kepada Kementerian Kesihatan dengan sebanyak RM60 juta daripadanya sebagai permulaan untuk menyediakan vaksin pneumococcal kepada semua kanak-kanak.
Penyakit pneumokokal disebabkan oleh bakteria dikenali sebagai streptococcus pneumoniae, yang boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan serius dan sering berlaku dalam kalangan golongan muda, warga emas dan mereka yang mengalami keadaan perubatan kronik.
Ia termasuk jangkitan paru-paru/inflamasi (radang paru-paru), meningitis (inflamasimembran yang mengelilingi saraf tunjang atau otak), sepsis (jangkitan dalam darah), sinusitis (jangkitan sinus) dan otitis media (jangkitan telinga tengah).