Sasaran minimum 15 pingat emas bagi sukan Paralimpik Asia

Sasaran minimum 15 pingat emas bagi sukan Paralimpik Asia

Ziyad Zolkefli

Minimum sebanyak 15 emas sasaran Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) untuk dibawa pulang dalam temasya Sukan Paralimpik Asia.

Sukan Para Asia itu akan berlangsung selama 8 hari daripada 6 sehingga 13 Oktober ini di Jakarta.

Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, seramai 221 atlet akan mewakili negara dalam 15 jenis sukan akan bertanding dalam 161 acara bagi merebut kilauan emas.

“Mereka mempunyai semangat juang yang tinggi dan berkobar-kobar untuk menang, jadi saya rasa sasaran emas ini pasti akan tercapai.

“Olahraga merupakan sukan yang pada saya lubuk emas untuk dibawa pulang selain daripada Bowling dan juga Badminton,”katanya dalam sidang akhbar di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, Kampung Pandan, semalam.

Sementara itu, atlet lontar peluru Paralimpik negara, Ziyad Zolkefli berkata, beliau ternyata tenang dan memberi gambaran bahawa emas pasti akan jadi miliknya.

“Saya mahu kekalkan pingat emas yang saya menangi 4 tahun lepas, dengan latihan dan pengorbanan yang saya lakukan, inilah masanya bagi saya untuk pastikan pengorbanan saya tidak menjadi sia-sia,” ujarnya ketika ditanya media.

Mengenai sasaran yang diletakkan oleh KBS apakah mampu untuk dicapai beliau yakin ianya adalah sasaran realisitik yang boleh dicapai.

“Saya dan atlet-atlet yang lain akan berusaha untuk mencapainya kerana dalam sukan apa sahaja boleh berlaku dan kami akan cuba sedaya upaya untuk membawa pingat emas,” katanya.

Turut hadir bersama ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang merasmikan Program Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia Sukan Para Asia, Indonesia, 2018.

CATEGORIES
TAGS