Malaysia Dateline

SASET berjaya tanam 700 anak pokok nadir di Hutan Simpan Tekai Tembeling

Sebanyak 700 anak pokok nadir telah berjaya ditanam di Hutan Simpan Tekai Tembeling dalam masa dua hari pada 24 dan 25 Ogos lalu melalui program Go Green With SASET (GGWS) sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Daerah Jerantut.

Penanaman yang dilakukan di Blok A & B, Kompartmen 50 itu dilakukan secara bersama dengan Sultan Ahmad Shah Environmental Trust (SASET), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut (PDTJ), serta beberapa lagi para sukarelawan.

Presiden SASET, Tengku Fahd Muad’zam Shah berkata, buat julung kalinya SASET terlibat dengan kerja-kerja penanaman anak pokok nadir di Pahang bertujuan menghijaukan kawasan hutan simpan selain dapat menjadi sumber pendapatan tambahan penduduk setempat, khususnya masyarakat Orang Asli dari suku kaum Negrito dan Batek.

“Terdapat 262 perkampungan Orang Asli dengan jumlah 78,636 penduduk di seluruh Pahang dan di Jerantut sahaja terdapat 12 perkampungan Orang Asli dengan jumlah keseluruhannya 3,561 penduduk dan dianggarkan terdapat kira-kira 900 Orang Asli suku Batek di daerah Jerantut dan Lipis.

“Dengan adanya program seperti ini, dapatlah mereka menikmati dan menambah pendapatan dengan hasil yang dikeluarkan oleh pokok-pokok yang baru ditanam kerana keunikan masyarakat Orang Asli suku Negrito dan Batek ini masih meneruskan amalan berpindah-randah atau nomad yang diwarisi sejak turun-temurun.

“Bahkan, masyarakat minoriti ini cukup sinonim dengan alam semula jadi dan hanya boleh ditemui di tiga buah negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu sekaligus menjadikan mereka insan istimewa kerana mereka agak ketinggalan disebabkan cara hidup dan adat resam mereka,” katanya.

Beliau yang berkenan menyempurnakan program pada hari itu turut berkata, dengan program sedemikian, para peserta bukan sahaja dapat merapatkan diri dengan alam semula jadi, malah diberi peluang untuk belajar mengenai spesies pokok bersama penduduk setempat.

“SASET komited untuk menjadikan negeri ini lebih hijau dan kami berharap usaha ini dapat diteruskan agar lebih banyak pokok-pokok hijau ditanam secara meluas di seluruh Pahang agar dapat memastikan pembangunan fizikal negeri beriringan dengan pemeliharaan alam semula jadi,” katanya.

Tambahnya, usaha memupuk kesedaran masyarakat terutamanya golongan belia terhadap kepentingan alam semula jadi merupakan tanggungjawab bersama.

“Pokok dan hutan memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesan perubahan iklim dan menanam pokok adalah satu usaha murni yang boleh kita lakukan bagi memperbaiki kualiti alam.

“Justeru itu, program kesedaran mengenai kepentingan alam semula jadi perlu dilaksanakan secara konsisten dan melibatkan semua lapisan masyarakat,” ujarnya.

Hadir sama, Sultan Indragiri XXVII, Tengku Parameswara Arif; Naib Presiden SASET, Datuk Aida Jusuf; Ketua Kempen SASET, Datuk Mohammad Ezan Ahmad; Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, Datuk Dr. Mohd. Hizamri Mohd. Yasin; dan Pegawai Daerah Jerantut, Tengku Khairul Zahirah Tengku Kamaludin.

Dalam pada itu, seramai 200 sukarelawan dari Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Kolej Komuniti Bera dan Jerantut, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Limkokwing University of Creative Technology, DRB HICOM University Of Automotive Malaysia, Amanah Saham Nasional Berhad cawangan Temerloh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Temerloh Jaya terlibat dalam program GGWS kali yang ke-6 pada tahun ini.

Sebanyak 700 anak pokok nadir spesies durian hutan (durio zibethinus), bruas (garcinia hombroniana), petai (parkia speciosa), kundang rumenia (bouea oppositifolia), sentul (sandoricum koetjape) dan kedondong sengkuang (scutinanthe brunnea) ditanam dalam kawasan seluas 35,000 meter persegi.

Untuk makluman, sehingga kini, SASET telah menanam sebanyak 121,012 pokok sekitar Pahang Darul Makmur dengan kerjasama JPNP dan pelbagi pihak lain termasuk NGO, syarikat korporat dan persendirian bagi menghijaukan khazanah alam semula jadi untuk tatapan generasi akan datang.