Sasterawan akui sumbangan, peranan Mahathir memperjuangkan semua kaum

Sasterawan akui sumbangan, peranan Mahathir memperjuangkan semua kaum

Sasterawan dan pejuang bahasa mengakui peranan serta sumbangan besar Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam memperjuangkan hak semua kaum di Malaysia.

Dr. Lim Swee Tin berkata, sejak dahulu Tun Mahathir dilihat sangat konsisten memperjuangkan hak dan kepentingan semua rakyat Malaysia tanpa mendiskriminasi perbezaan kaum.

Katanya, disebalik usaha memperjuangkan hak kaum di negara ini, Tun Mahathir terus bekerja keras membela nasib orang Melayu dalam bidang-bidang yang didapati masih ketinggalan di belakang.

“Jika baca karya sajak-sajak saya dalam buku ‘Tun Mahathir Kami Bersamamu’, rakyat Malaysia akan tahu perjuangan Perdana Menteri kita dari sejarah lepas.

“Mahathir selalu menyebut tentang hasil kekayaan perkembangan ekonomi yang mesti diagihkan sama rata pada setiap kelompok kaum di negara ini.

“Jadi ini ertinya beliau mahu setiap hasil yang diperolehi dinikmati oleh semua pihak tanpa ada seorang pun yang ketinggalan. Itulah konsisten yang ditunjukan oleh beliau,”katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Dalam pada itu, beliau berkata, isu yang membabitkan ICERD dan Statut Rom sama sekali tidak menunjukkan Mahathir cuba menimbulkan masalah perkauman atau mengancam institusi Raja-raja Melayu itu sendiri.

Jelasnya, Mahathir melihat segala ratifikasi tersebut dari sudut positif yang mempunyai kepentingan-kepentingan lain yang berbeza dari sudut pandang masyarakat di negara ini.

“Saya percaya Mahathir melihat perkara ini (Statut Rom) dari sudut pandang positif yang patut dimainkan oleh Malaysia namun orang ramai melihat keadaan tersebut dari aspek kebimbangan.

“Mereka bimbang dengan ratifikasi yang dilakukan akan mengancam kedudukan orang melayu, kedudukan agama islam sebagai agama rasmi dan kedudukan institusi raja-raja melayu. Tapi saya fikir tiada unsur ketidakadilan dan ancaman dalam isu ini,”ujarnya.

Beliau turut akui, tiada perbezaan semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) berbanding Pakatan Harapan yang telah mentadbir selama 11 bulan, dimana kedua-dua parti sentiasa komited berusaha menjamin dan mempertahankan hak kaum di Malaysia.

Namun begitu, beliau memuji Tun Mahathir sebagai pemimpin yang cemerlang ketika era pentadbirannya yang memastikan tiada etnik yang tercicir dan ketinggalan.

Beliau turut beranggapan bahawa ekonomi orang Melayu dilihat masih ketinggalan dan kerajaan perlu sentiasa berusaha membantu memajukan ekonomi mereka.

Tambahnya lagi, istilah ‘Melayu Malas’ bukan lah satu penghinaan malah ia merupakan satu peringatan untuk terus memajukan diri dan sebagai motivasi kepada kaum itu.

“Saya nampak ayat itu sebagai satu motivasi. Kita tak boleh ambil hati. Kalau saya orang melayu pun saya tak ambil hati. Kalau dia kata macam tu, saya akan lihat sebagai kata-kata nasihat. Ini bukan isu menghina, kerana sepanjang sejarah Tun memerintah, beliau sangat bertanggungjawab. Bila kita nampak sikap Tun bertanggungjawab, tak kan lah beliau nak menghina,” jelasnya.