Sasterawan negara harap sedia kolum dalam akhbar dan cintai sastera

Sasterawan negara harap sedia kolum dalam akhbar dan cintai sastera
Prof Dr Siti Zainon Ismail

Akhbar-akhbar tempatan sudah seharusnya mula mengekalkan satu slot harian khas untuk mempamerkan satu penulisan sastera hasil karya penulis dalam negara dengan mengambil pemikiran-pemikiran sasterawan yang senior.

Sasterawan Negara, Prof Dr Siti Zainon Ismail berkata, ini kerana negara masih lemah dari sudut mempromosi dan memperkenalkan karya sastera kepada khalayak umum bagi merancakkan semula kelesuan dunia sastera yang kian terasa.

Jelasnya, kecanggihan teknologi dan kemajuan internet mempengaruhi trend maklumat dihujung jari yang menyebabkan lebih ramai selesa melayari karya sastera daripada membacanya di akbar atau buku penerbitan penulis terbabit

“Slot-slot harian berkenaan sastera yang keluar di media massa atau akhbar seharusnya kita kekalkan. Kita kutip pemikiran sasterawan yang senior seperti sajak Usman Awang agar ia dikenali dan tersemat dalam pemikiran pelajar-pelajar sekolah.

“Tapi kita tidak ada kolum harian pun. Cuba bayangkan jika dalam seminggu, cuma dua halaman sastera sahaja yang diperuntukkan. Lapan halaman lainnya bersifat popular. Mungkin dicelah-celah halaman popular itu kita boleh selitkan sedikit puisi, pasti ada yang baca

“Kita masih lemah disudut mempromosi dan memperkenalkan sastera dikhalayak umum. Ini kerana semua di hujung jari, layari sahaja nama Usman Awang contohnya, keluar senarai sajak-sajak dia,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Siti Zainon dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-14 yang membawa gelaran Sasterawan Negara  seperti diumumkan oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malek pada 5 September lalu. Majlis penyampaian Anugerah Sasterawan Negara itu akan diadakan pada 21 September ini di salah sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Menurut Siti Zainon lagi, sastera bukanlah sekadar puisi atau sajak yang membawa mesej positif tetapi ia juga hakikatnya merupakan satu mesej dalam memperjuangkan isu masyarakat dan perpaduan rakyat.

Beliau turut menekankan beberapa penulisan para sasterawan sebelum ini yang mengetengahkan isu kemasyarakatan dengan menekankan aspek hubungan sosial terbuka sebagai contoh keupayaan karya tersebut membentuk nilai sosial yang baik.

“Kalau kita baca teks sastera dari sasterawan negara yang lebih awal seperti Usman Awang, A Samad Said, semuanya di selitkan isu kemasyarakatan di dalamnya. Pengajaran pun ada di dalam teks tersebut yang menyentuh hubungan sosial yang terbuka.

“Kita sedar, tidak semua orang membaca, jadi dengan sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan penerbit buku yang lain, jadi mereka dapat berhubungan langsung dengan para pembaca untuk mendedahkan penulisan sastera kepada masyarakat,” katanya.

Tambahnya yang pernah memenangi Anugerah Tokoh Seni Budaya itu, para pengkarya dan penulis sememangnya tidak pernah memikirkan untuk memperoleh anugerah untuk karya mereka.

Jelasnya, setiap penulis hanya berharap untuk bertindak sebagai pendamai antara masyarakat.

Justeru katanya, masyarakat dan kerajaan sendiri diharap dapat menyokong dan membela masa depan para sasterawan dan juga penulis-penulis lainnya yang menyumbang hasil penulisan demi kebaikan negara.