Sate paling banyak naik harga, melonjak lebih 100 peratus dibanding 13 tahun lalu – DOSM

Oleh MALAYSIADATELINE

Meskipun kenaikan harga menu kegemaran rakyat Malaysia meningkat secara tidak ketara namun ada banyak perubahan harga terkini jika dibandingkan dengan 13 tahun lepas.

Memetik Bernama, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan harga makanan seperti roti canai, nasi lemak dan sate meningkat hampir dua kali sejak 13 tahun lalu.

Dalam laporan bertajuk Analisis Indeks Harga Pengguna (IHP) Tahunan 2024, terlihat harga roti canai meningkat sebanyak 71.1 peratus daripada purata harga 90 sen sekeping pada 2011 kepada RM1.54 pada 2024.

Manakala harga nasi lemak naik 81.3 peratus daripada RM2.03 sepinggan kepada RM3.68 pada 2024.

Pada masa sama harga sate ayam pula meningkat lebih dua kali dan dapat dilihat lonjakan sebanyak 113.7 peratus daripada 51 sen secucuk pada 2011 kepada RM1.09 tahun lalu.

Dalam pada itu, laporan tersebut juga memaparkan harga santan segar meningkat daripada RM7.39 sekilogram pada 2011 kepada RM11.54 pada 2024.

Kelapa parut juga menunjukkan peningkatan harga RM5.18 sekilogram pada 2011 kepada RM8.33 tahun lalu.

DOSM turut melaporkan inflasi Malaysia meningkat dengan kadar perlahan 1.8 peratus pada 2024 berbanding 2.5 peratus pada 2023.

Ini menunjukkan mata indeks mencatatkan 132.8 berbanding 130.4 pada tahun sebelumnya.

Data Tinjauan Ekonomi Dunia Tabung Kewangan Antarabangsa bagi April 2025 menunjukkan inflasi negara adalah selari dengan kadar inflasi global sebanyak 5.7 peratus pada 2024.

Ini dilihat lebih perlahan berbanding 6.6 peratus yang direkodkan pada 2023.

Baca juga: SKMM sahkan pempengaruh disiasat sebar maklumat palsu babit institusi Diraja