Sathianathan sah pengendali baharu Selangor musim depan

Sathianathan sah pengendali baharu Selangor musim depan

Bekas ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, B. Sathianathan sah dilantik sebagai pengendali baharu skuad Liga Super Selangor, musim depan.

Bekas jurulatih pasukan Felda United itu mengakui teruja dapat melatih salah sebuah pasukan hebat penuh dengan tradisi kejuaraan termasuk menjadi pasukan terawal muncul juara Piala Malaya yang kini dikenali sebagai Piala Malaysia.

“Saya berjanji akan memberi yang terbaik dan cuba sedaya upaya merangkul salah satu trofi bagi memberi keceriaan kepada penyokong Gergasi Merah,” katanya dalam temu ramah eksklusif bersama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang disiarkan secara langsung di laman Facebook FAS, hari ini.

Sathianathan mengakui keputusan melatih Selangor dibuat setelah tertarik dengan pelan strategik yang sedang dilaksanakan Presiden FAS Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mengembalikan semula kegemilangan skuad Gergasi Merah.

Dalam pada itu, jurulatih berusia 60 tahun itu tidak menolak kemungkinan untuk mendapatkan khidmat beberapa pemain tempatan berkualiti bagi memperkuatkan skuad Gergasi Merah dalam menghadapi saingan Liga Malaysia 2019.

“Saya berharap pemain senior seperti Mohd Amri (Yahyah) akan menggunakan segala pengalaman beliau untuk membantu kita dalam kempen 2019,” jelasnya.

Sathianathan pada masa sama turut percaya kehadiran pemain sayap kebangsaan, Mohd Syazwan Zainon dari Kedah, memberi pilihan kepadanya untuk mempelbagaikan corak permainan skuad Gergasi Merah pada musim depan.

Selain Mohd Syazwan, rakan sepasukannya Abdul Halim Saari turut sah menyertai Selangor.

Sathianathan sebelum ini mengambil keputusan meninggalkan Felda United setelah dikatakan tidak berpuas hati dengan pemotongan gaji terlalu tinggi oleh pengurusan pasukan berkenaan.

Untuk rekod, beliau berjaya membimbing pasukan Felda United muncul juara Liga Premier 2018, sekali gus layak beraksi dalam Liga Super 2019.

— BERNAMA