Satu dari dua tahfiz tidak berdaftar di Selangor diarah tutup

Satu dari dua tahfiz tidak berdaftar di Selangor diarah tutup

Hanya dua sekolah tahfiz dikesan tidak berdaftar di Selangor dengan satu daripadanya diarahkan tutup, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Menurutnya, sebuah sekolah tahfiz lagi yang masih tidak berdaftar diarah mematuhi syarat dan prosedur yang ditetapkan sebelum boleh beroperasi.

Beliau berkata, kerajaan negeri sejak 2017 lagi melancarkan operasi mengesan tahfiz haram terbabit dan secara keseluruhan Selangor memiliki kira-kira 300 sekolah tahfiz.

“Setakat ini kita dapat laporan hanya dua tahfiz yang tidak mahu bekerjasama dengan kita, yang mana satu kita arahkan tutup.

“Satu lagi masih menunggu proses tertentu untuk didaftarkan termasuk pemilik perlu mengemas kini pelan pembangunan premis tersebut selain mematuhi prosedur keselamatan yang ditetapkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Hari Perancang Bandar Sedunia (HPBS) peringkat kebangsaan yang dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad di Dataran Kemerdekaan Shah Alam hari ini.

Amirudin mengulas gesaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa baru-baru ini yang meminta ibu bapa untuk memilih sekolah tahfiz berdaftar bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Mengulass lanjut, beliau berkata, kerajaan Selangor juga mewajibkan semua sekolah tahfiz untuk mematuhi prosedur pembangunan premis yang bertujuan untuk menjaga keselamatan pelajar sekolah tahfiz.

“Kita mengambil pengajaran dari tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur dan kita tidak mahu ia berulang dan berlaku di negeri ini.

“Kerajaan negeri turut mewajibkan mereka untuk lengkapkan asas-asas pembangunan premis itu seperti kena mempunyai pelan bangunan, kebenaran pembinaan dan kawalan keselamatan…pihak bomba juga bekerjasama dengan persatuan tahfiz supaya dapat memantau keselamatan bangunan tahfiz ini,” tegasnya.

Untuk rekod, bangunan sementara Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di Kuala Lumpur terbakar pada awal pagi 14 September 2017.

Seramai 21 pelajar tahfiz serta dua tenaga pengajarnya maut dalam perbuatan khianat tersebut.

Menyentuh sukatan pelajaran sekolah tahfiz di negeri itu, Amirudin berkata kerajaan negeri akan turut memberikan tumpuan terhadap hal tersebut bagi memastikannya seimbang dengan pendidikan kebangsaan.

Langkah itu, jelasnya, termasuk pengenalan laluan pantas untuk pelajar sekolah tahfiz menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas mereka menamatkan pengajian dalam bidang tahfiz dan agama.

“Antara inisiatif awal ialah fast track (laluan pantas) SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang sudah dimulakan sejak beberapa tahun lalu di mana tahun lalu ada kira-kira 200 pelajar dan tahun ini kita sasarkan lebih 200 pelajar.

“Inisiatif itu dilaksanakan melalui Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dengan peruntukan kira-kira RM1.9 juta,” tambahnya lagi.