Satu rakaman yang memaparkan suasana gamat ketika Kongres Nasional Keadilan 2023 sedang berlangsung telah beredar di platform media sosial, baru-baru ini.
Jeritan demi jeritan terdengar, kongres yang berlangsung di Dewan Plenary di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu rupanya turut ‘dihadiri’ seekor tupai.
Tupai tersebut turut bertindak ‘menganggu’ ucapan penggulungan Kongres Nasional Keadilan 2023 daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir selaku Presiden PKR.
Hal ini kerana, keadaan di dalam dewan begitu gamat dengan jeritan ketika tupai tersebut ‘berlegar-legar’ mengganggu beberapa perwakilan dan pemerhati kongres.
Enggan situasi menjadi tidak terkawal, Perdana Menteri Malaysia itu kemudian berseloroh supaya semua perwakilan dan pemerhati kongres kembali bertenang.
“Baru seekor tupai, sudah jadi masalah dalam negara ini,” seloroh Anwar yang berhenti berucap seketika untuk menenangkan tetamu di dalam Dewan Plenary PICC itu.
Ucapan penggulungan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sempat menyentuh mengenai pengecualian visa selama 30 hari kepada para pelancong.
Pelancong yang terlibat dalam pengecualian visa ini adalah penduduk China, serta beberapa negara Arab termasuk Turkiye dan Jordan bermula pada 1 Disember ini.
Dalam ucapan itu, Anwar turut menyatakan lawatannya ke Sadao, Selatan Thailand bersama Perdana Menterinya, Srettha Thavisin yang dijadual berlangsung hari ini.
Terdahulu, kongres nasional tahunan yang berlangsung selama dua hari bermula dari 25 November itu dihadiri oleh seramai 1,485 perwakilan dan juga 1,770 pemerhati.
Antara isu utama yang dipilih oleh pembahas untuk dibincangkan adalah perkara berhubung kos sara hidup, isu perpaduan dan 3R, isu rasuah serta penyelewengan kuasa.