Satu lagi ‘eksperimen’ pakatan pembangkang dengan parti baharu, kata Presiden MIC

Satu lagi ‘eksperimen’ pakatan pembangkang  dengan parti baharu, kata Presiden MIC

Presiden MIC Datuk Dr S.Subramaniam menyifatkan kerjasama parti baharu dengan Pakatan Harapan sebagai satu lagi “eksperimen” untuk pakatan pembangkang.

“Kami telah melihat perkara ini berlaku sebelum ini, apabila DAP dan Pas cuba untuk bekerjasama… mereka bergaduh macam kucing dan anjing.

“Oleh itu, ini adalah satu lagi eksperimen baru (pembangkang). Saya rasa rakyat Malaysia kini lebih matang dalam membuat keputusan,” kata Subramaniam, yang juga menteri kesihatan dalam satu sidang media  di ibunegara malam tadi seperti dilaporkan Malaysiakini hari ini.

Beliau menambah bahawa parti baharu itu tidak mungkin memberi kesan terhadap Barisan Nasional (BN).

Semalam bekas  Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendaftarkan parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dibuka kepada semua kaum dan bukan Melayu hanya boleh menyertainya sebagai ahli bersekutu yang tidak boleh bertanding untuk sebarang jawatan atau mengundi dalam pilihan raya kepimpinan parti.

Dalam hal ini Subramaniam dipetik berkata,apa perlunya bukan bumiputera menyertai parti politik, yang dari awal lagi, bersikap diskriminasi terhadap mereka?

Beliau merujuk kepada status dwi-keahlian dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang baru difailkan untuk pendaftaran, yang akan diterajui oleh bekas timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Subramaniam dipetik berkata terdapat dua jenis keahlian, satu dengan hak dan yang lain tanpa hak, dan ini menurutnya wujud diskriminasi berdasarkan bangsa.

Dari awal, tegasnya, parti itu mengamalkan diskriminasi.

“Oleh itu, jika bukan bumiputera menyertainya, mereka akan, dari awal lagi, dianggap sebagai ahli kelas kedua.

“Jadi apa perlunya mengapa menjadi ahli parti itu? Adalah lebih baik mereka tidak menyertainya, lebih baik sertai kami di MIC,” kata Subramaniam.