Satu lagi kematian akibat rabies dicatatkan di Sarawak

Satu lagi kematian akibat rabies dicatatkan di Sarawak

Satu lagi kes kematian akibat rabies direkodkan di Sarawak apabila seorang lelaki berumur 46 tahun dari Kota Padawan, Kuching meninggal dunia pada tiga hari lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa disahkan dijangkiti rabies melalui ujian makmal yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) semalam.

“Mangsa mempunyai sejarah digigit anak anjing peliharaannya di bahagian tapak tangan kanannya pada 15 Jun ketika mahu menangkap anjing itu yang merayau di luar kawasan rumahnya.

“Pada hari yang sama, anak perempuan mangsa yang berusia lapan tahun juga digigit oleh anjing itu dan kedua-dua beranak itu telah mencuci luka berkenaan selama 15 minit pada hari kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, anak anjing itu diambil daripada seorang rakan beliau yang tinggal di Kuching pada akhir bulan Mei lepas dengan status pelalian rabies anjing itu tidak diketahui.

Pada 17 Jun, mangsa membawa anaknya ke klinik kesihatan dan dirujuk ke Post Bite Clinic (PBC) di Hospital Umum Sarawak (HUS), sebelum membawa anaknya ke PBC keesokannya dan diberikan dos pertama vaksin.

“Sepanjang mangsa membawa anaknya untuk mendapatkan rawatan termasuk lawatan susulan ke klinik bagi melengkapkan pemberian vaksin rabies, beliau tidak pernah memaklumkan kepada mana-mana kakitangan kesihatan bahawa beliau juga telah digigit oleh anjing itu,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pada 29 Julai, mangsa mula mengalami demam, sakit kepala serta rasa lenguh di bahu kanannya lalu mendapatkan rawatan di dua buah klinik kesihatan berbeza pada 31 Julai dan 2 Ogos tetapi masih tidak memaklumkan sejarah digigit anjing.

Beliau berkata, pada 3 Ogos, mangsa kemudian mendapatkan rawatan di HUS apabila gejala bertambah teruk dan akhirnya memaklumkan bahawa beliau mempunyai sejarah digigit oleh anjing.

“Keadaan mangsa pada masa itu adalah agresif, hydrophobia, aerophobia, demam, sakit kepala dan lemah di bahagian tangan… keadaannya bertambah teruk dan disahkan meninggal dunia pada pukul 2.51 pagi, 7 Ogos.

“Buat masa ini anak perempuan mangsa yang turut digigit oleh anjing yang sama berada dalam keadaan sihat dan sedang dipantau pihak kesihatan.,” katanya.

Katanya, dengan pengesahan terbaru itu, ia menjadikan jumlah keseluruhan 20 kes termasuk 19 kematian sejak pengisytiharan wabak itu pada Julai 2017 yang mana empat kes berlaku pada tahun ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes berkenaan adalah kes keempat mangsa gigitan oleh anjing yang diambil dari individu lain dengan status vaksinasi rabies haiwan itu tidak diketahui.

“Orang ramai khususnya di Sarawak diingatkan agar tidak mengambil atau memungut anjing atau haiwan lain yang tidak diketahui status suntikan vaksin rabies walaupun ia di dalam kawasan kejiranan kerana dikhuatiri haiwan itu dijangkiti rabies dan dalam proses pengeraman sebelum haiwan itu menunjukkan gejala.

“Selepas mencuci luka gigitan dengan sabun dan air yang mengalir sekurang-kurangnya 15 minit pula, mangsa gigitan perlu segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik atau hospital kerajaan yang berdekatan,” katanya.

Risiko jangkitan rabies disebabkan gigitan anjing dan haiwan lain di Sarawak adalah tinggi memandangkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sarawak melaporkan 40 peratus daripada anggaran 1,000 ekor anjing di negeri itu yang dijalankan ujian adalah positif virus rabies.