Satu lori bauksit buat salah, batalkan terus lesen syarikat, kata MP Kuantan

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mendesak langkah tegas perlu diambil membatalkan segera lesen syarikat yang mana berlaku kejadian salah satu tayar sebuah lori pengangkut bauksit tercabut dipercayai dipandu laju hingga menyebabkan kematian kepada pemandu kenderaan lain.

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah SallehAhli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mendesak langkah tegas perlu diambil membatalkan segera lesen syarikat yang mana berlaku kejadian salah satu tayar sebuah lori pengangkut bauksit tercabut dipercayai dipandu laju hingga menyebabkan kematian kepada pemandu kenderaan lain.

Fuziah yang juga Pengerusi Gabungan Menentang Pencemaran Bauksit menyarankan pembatalan serta-merta lesen syarikat yang diberi kebenaran melakukan aktiviti melombong sekiranya terdapat kes lori di bawah syarikat tersebut melanggar undang-undang.

“Bagaimana nak kuatkuasakan undang-undang dan bagi syarikat lori bertanggungjawab? Saya fikir apabila salah satu lori langgar undang-undang, batalkan saja lesen tuan punya lori itu. Kesemua lori dia (syarikat itu) tidak boleh guna angkut bauksit,” ujarnya di Facebook beliau.

Menurutnya,langkah berkenaan melibatkan kesemua kesalahan jalan raya iaitu kegagalan mematuhi syarat pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) termasuk jika pemandu lori terbabit didapati menyalahgunakan dadah.

“Setiap lori yang buat salah terus batal lesen untuk satu syarikat. Baru tuan punya syarikat tidak fikir nak buat untung saja. Baru mereka faham erti tanggungjawab!” katanya lagi.

Mengulas dakwaan wujudnya unsur rasuah yang akan menggagalkan langkah penguatkuasaan itu seperti diketengahkan dalam komentar di Facebook beliau, Fuziah menyifatkan perlunya kesungguhan politik untuk membanteras gejala tersebut.

“Apa kata kalau pegawai dia tidak laksanakan tugas dengan amanah, bos dia kena warning dan kemudian boleh diturunkan pangkat! Ajar bos dia jaga anak buah,” katanya yang turut menegaskan hukuman itu harus dikenakan tanpa mengira kaum atau parti politik.

Selepas Norhaili giliran siapa?

Mangsa kejadian lori bauksit Allahyarham Norhaili Ahmad Zabidi meninggal dunia di tempat kejadian. Aktiviti mengangkut bauksit di Kuantan yang berlaku di luar kawalan menyaksikan Norhaili Ahmad Zabidi, 40, menjadi korban selepas satu tayar sebuah lori 10 tan dengan muatan mineral itu tercabut dan terpelanting menghempap kereta guru Sekolah Kebangsaan Balok berkenaan.

Sebelum ini, rungutan dan kebimbangan penduduk serta pengguna jalan raya di lokasi terjejas akibat perlombongan bauksit seolah-olah tidak berupaya untuk ditangani oleh pihak berwajib.

Antara kawasan teruk terjejas akibat perlombongan bauksit di luar kawalan kerajaan negeri ini ialah sekitar Gebeng, Pelabuhan Kuantan, Gambang, Felda Bukit Goh, Felda Bukit Kuantan dan Felda Bukit Sagu.

Deretan lori yang menguasai jalan raya utama di sekitar Kuantan seperti di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan berdekatan Sungai Karang dlihat mempunyai kaitan dengan jumlah syarikat yang diberi lesen untuk melombong bauksit.

Terdapat 44 syarikat kesemuanya yang diberi lesen terbabit seperti didedah oleh Fuziah berdasarkan jawapan daripada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar di Dewan Rakyat sebelum ini.

Kelulusan syarikat yang dilihat terlalu banyak itu selain wujudnya pelombong bauksit tidak berlesen dan kontraktor yang beroperasi secara haram mengakibatkan pengguna jalan raya dan penduduk setempat terpaksa memperjudikan nyawa ketika bersesak di jalan raya dengan deretan lori membawa muatan bauksit.

Realiti kewujudan pelombong haram itu turut disebut oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob ketika mengakui pihaknya tidak boleh memaksa mereka untuk menggunakan agen kawalan debu, Adherex 120 jika penggunaan produk biokimia itu diwajibkan.

Bahkan, Adnan bulan lalu mengesahkan wujud banyak kelemahan daripada segi penguatkuasaan undang-undang dan sebanyak 5,028 daripada 104,537 lori diperiksa telah disita dan dikenakan kompaun mencecah RM5.6 juta ekoran melanggar pelbagai peraturan di bawah PTG, JPJ, SPAD dan Majlis Perbandaran Kuantan.

Statistik bagi tempoh sepanjang akhir tahun lalu sehingga awal November itu memperlihatkan sikap tidak peduli sebahagian besar syarikat ketika kerajaan negeri pada masa sama gagal untuk mengawal operasi melombong bauksit daripada berterusan mencemari alam sekitar dan membahayakan penduduk setempat.

Ini termasuklah kesan aktiviti mencuci tanah yang mengandungi bauksit di kawasan hulu sungai apabila logam berat dibimbangi mencemari sumber air minuman dari Bukit Sagu dan Bukit Goh, Kuantan.

Kebimbangan tersebut yang disuarakan Fuziah bagaimanapun dinafikan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya baru-baru ini.

Salah seorang pengguna jalan raya menunjukkan tayar lori yang tercabut hingga menjadi punca kematian Allahyarham Norhaili.Kenapa Menteri Besar belum mahu umum gantung lesen eksport bauksit?

Tiada jalan lain untuk memberi pengajaran kepada syarikat perlombong terlibat melainkan menamatkan aktiviti mereka pada kadar segera selepas syarat, garis panduan dan peraturan tidak dipatuhi.

Walaupun sudah beberapa kali pertemuan di antara kerajaan negeri dengan pihak syarikat melombong bauksit diadakan termasuk kali keempat pada Julai lalu tetapi situasi semasa menyaksikan keadaan semakin buruk.

Amaran keras Adnan pada Mei lalu termasuk pelaksanaan enam langkah berkuatkuasa serta-merta antaranya membatalkan pengeluaran lesen melombong dan permit 4C terhadap pihak yang menyalahgunakannya untuk mengeksport mineral itu ke luar negara menerusi Pelabuhan Kuantan juga dilihat tidak mampu mengatasi masalah sebenar ditanggung rakyat.

Bahkan, gesaan Fuziah sebelum ini supaya lesen eksport bauksit digantung dilihat masih tidak mendapat sambutan di pihak kerajaan negeri.

 

 

TAGS