Satu Malaysia didakwa telah ditipu oleh seorang doktor setelah mereka-reka cerita sedih mengenai pemergian isteri dan anaknya yang meninggal dunia.
Kisahnya terbongkar selepas Syahr Musafir, penulis buku Hikayat Budak PhD menyiasat lebih mendalam mengenai identiti individu terbabit.
Bagaimanapun, melalui hantaran terbaharu Syahr, difahamkan bahawa cerita itu adalah sebuah rekaan dan individu ‘Iqbal Hamdi’ itu juga tidak wujud.
Syahr berkata, melalui kaji selidik yang beliau lakukan di internet, didapati bahawa individu yang kononnya ‘Iqbal Hamdi’ itu sebenarnya mengguna gambar orang lain iaitu seorang individu warga Indonesia yang bekerja sebagai jururawat di Los Angeles dan gambar yang didakwa sebagai anak-anak ‘Iqbal Hamdi’ itu pula diambil di laman sesawang Pixabay.Com.
Tindakan beliau menyamar, mengambil gambar orang lain dan mereka cerita sedih demi kandungan media sosial adalah sebuah tindakan yang tidak wajar.
Kebanyakan netizen menyelar tindakan beliau, tambah-tambah lagi apabila cerita beliau itu telah dikongsi oleh beribu pengguna media sosial yang percaya dengan kisah sedihnya.
Sebelum ini, media sosial Facebook gempar dengan sebuah kisah sedih yang dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial dengan nama Iqbal Hamdi yang mendakwa dirinya adalah seorang doktor yang bekerja di Australia.
‘Iqbal Hamdi’ yang menulis cerita mengenai kisah hidupnya yang bekerja di Royal Adelaide Hospital – sebelum dipadam profilnya selepas kantoi ceritanya adalah sebuah rekaan – mendakwa bahawa isterinya meninggal dunia selepas melahirkan seorang anak, manakala anaknya itu pula meninggal dunia akibat kesihatan mental.
Ikuti pendedahan yang dibuat oleh Syahr Musafir:
Kisah seorang Dr ini sedang viral sekarang. Saya baca posting dia, siap saya menangis sekali.
Tetapi disebabkan dia menyebut tentang “Adelaide” yang merupakan tempat saya belajar, tinggal, kerja, kahwin, dapat anak-anak dan membina keluarga selama lebih 8 tahun, dan saya pun pernah menjadi staf di Royal Adelaide Hospital itu, saya terpaksa cari maklumat tentang siapakah Dr Iqbal Hamdi yang menulis cerita tersebut.
Saya buka profilnya dan saya screenshot gambarnya. Terus cari di Google Lens.
Gambar bernama Dr Iqbal Hamdi itu sebenarnya gambar Hengky Lim, warga Indonesia yang bekerja sebagai jururawat di Los Angeles.
Saya terkejut.
Terus screenshot cover photo pula. Ada gambar anak-anak yang diceritakan sebagai Melissa dan arwah Rayyan.
Hasil carian Google Lens, itu adalah gambar kanak-kanak dari Pixabay dot Com.
Kalau pun “Dr Iqbal Hamdi” itu benar dan wujud, nampaknya dia guna gambar palsu.
Kalaupun kisah “arwah isteri dan arwah anak lelaki” itu benar, nampaknya gambar anak-anak yang dipaparkan itu adalah palsu. Bukan gambar arwah Rayyan yang disimpatikan oleh ribuan orang.
Aduhhhh kenapa perlu tipu gambar.
Aduhhhhh dunia ini dunia tipu-tipu.
Kalau video pun boleh ditipu.
Kalau gambar boleh ditipu, guna AI.
Kalau teks pun boleh ditipu, guna ChatGPT.
Sungguh semuanya tipu-tipu.
Habis apa lagi nak dipercaya?
Saya harap jika benar orang dan kisah ini, tolonglah jangan berselindung di sebalik gambar-gambar palsu. Saya harap jika kisah itu kisah palsu, moga orang ramai tidak terpedaya dan ditipu.
Baca juga: Imej tentera tercalar, wanita buat konten kentut di mikrofon kapal TLDM dikecam