Satu parti tidak boleh tumbangkan BN, PH akan menang bergaya pada PRU14

Satu parti tidak boleh tumbangkan BN, PH akan menang bergaya pada PRU14

Umno-Barisan Nasional (BN) tidak akan dapat ditumbangkan sekiranya pembangkang hanya menonjolkan satu parti semata-mata,sebaliknya dengan parti gabungan seperti Pakatan Harapan akan membuka peluang mudah untuk menumbangkan Umno-Barisan Nasional (BN).

Pandangan ini dilontarkan oleh Timbalan Presiden Pakatan Harapan Mohamad Sabu ketika menyampaikan ucapan khas pada Pelancaran Manifesto Pakatan Harapan di Ideal Convensyen Centre (IDCC) di Shah Alam malam ini.

Beliau mengimbau kembali  krisis antara Mursyidul Am Pas Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Karpal Singh kerana perbezaan pandangan namun dengan semangat perpaduan dua pemimpin itu, telah membawa kemenangan buat Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2013 apabila pembangkang secara keseluruhan memperoleh undi majoriti.

“Pilihan raya umum 2013 telah mengajar Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) dan BN sebagai golongan minoriti yang mentadbir Malaysia hari ini.

“Oleh itu mereka mesti mencari jalan untuk pecahkan perpaduan terutama parti dalam pakatan rakyat. Umno sangup keluarkan wang jutaan ringgit untuk membiayai satu pihak agar parti berpecah akhirnya Pas berpecah dengan DAP dan PKR,” ujarnya.

Presiden AMANAH ini juga berkata, dengan gabungan tiga buah parti PKR, AMANAH dan DAP untuk membentuk Pakatan Harapan walaupun membawa harapan yang tipis dalam usaha menumbangkan Umno-BN, namun dengan kemunculan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ia membawa harapan baru kepada gabungan pembangkang itu.

” Harapan kita makin tipis kerana kita berpecah yang mana kekuasaan kita semakin lemah kemudian Pakatan Harapan ditubuhkan dengan tiga buah parti PKR AMANAH dan DAP.

“Tetapi takdir Allah lahirnya parti Bersatu yang kini kemunculannya membawa keresahan kepada Umno.

“Oleh itu daripada 3 buah parti yang sedia ada kekuatannya, datang satu parti lagi yang dulunya kita tidak mimpi akan duduk bersama.

“Antara manusia yang begitu tekun satukan pembangkang tidak lain tidak bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian yang datang pada kita bukan calang orang seorang yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun. Selok belok anak buahnya dalam Umno semua dihujung jarinya,” ujar Mohamad yang merujuk kepada Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yakin dengan semangat perpaduan yang wujud dalam Pakatan Harapan, gabungan itu akan menang bergaya pada pilihan raya umum kali ini.

Turut hadir dalam Majlis Pelancaran Manifesto Pakatan Harapan itu ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Ketua Setiausaha Majlis Presien Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah dan barisan tertinggi kepimpinan empat parti gabungan.

Pakatan Harapan malam tadi melancarkan secara rasmi Manifesto Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Umum ke-14.

8.7
OVERALL SCORE
: 10.0
6 user votes x 8.5