Satu penghormatan Haron Din anggotai MPI, kata Harussani

Satu penghormatan Haron Din anggotai MPI, kata Harussani

 

 

 

 

 

 

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berpandangan pelantikan Musyidul Am Pas Datuk Dr Haron Din mengetuai Ketua Kluster Dakwah Majlis Perundingan Islam (MPI) adalah satu penghormatan dan keputusan yang terbaik dalam mengeratkan hubungan sesama umat Islam yang berlainan parti dan dalam usaha kerjasama Umno-Pas.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berpandangan pelantikan Musyidul Am Pas Datuk Dr Haron Din mengetuai Ketua Kluster Dakwah Majlis Perundingan Islam (MPI) adalah satu penghormatan dan keputusan yang terbaik dalam mengeratkan hubungan sesama umat Islam yang berlainan parti dan dalam usaha kerjasama Umno-Pas.

 Beliau berkata, sebagai seorang ilmuan Islam yang telah teruji ilmu dan berpengalaman, beliau seharusnya diberikan penghormatan itu untuk dilantik menganggotai MPI.

“Beliau seorang ilmuan Islam yang berpandangan luas dan berpengalaman. Amat sesuai dilantik dalam MPI walaupun ada pihak yang tidak bersetuju, mereka bebas untuk memberikan pandangan sama ada ia berkepentingan peribadi atau kepentingan politik masing-masing,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Sebelum ini, selepas pilihan raya umum 2008, Harussani adalah antara pihak yang berusaha giat bagi membentuk kerajaan bersama antara Pas  dan Umno di Perak. Beliau bergerak ke sana sini termasuk memujuk Pesuruhjaya Pas Perak ketika itu, Ahmad Awang agar menerima cadangan kerajaan bersama itu tetapi ditolak.

MPI yang mengadakan mesyuarat Khamis lalu telah menggabungkan 86 ahli daripada semua peringkat membabitkan mufti-mufti, cendiakawan, ahli politik, ahli ekonomi dan pemimpin gerakan Islam bergabung untuk memberi cadangan, nasihat dan pandangan kepada kerajaan untuk kebaikan umat Islam.

Selain Haron, enam lagi dilantik mengetuai kluster lain iaitu Tan Sri Muhamad Ali Hashim (Ekonomi); Tan Sri Prof. Dr. Kamal Hasan (Pendidikan), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki (Sosial); Prof. Datuk Seri Zaleha Kamarudin (Undang-Undang), Datuk Dr. Siddiq Fadzil (Pemikiran Islam) dan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir (Politik).

Menurut Harussani lagi, semua ahli MPI yang dilantik perlu memikirkan pelaksanaannya kelak secara bersama bagi memantapkan lagi kesatuan umat Islam tidak kira parti mana yang disokong dan didokong dikalangan ahli terlibat.

“Masalah kita orang Islam di Malaysia ni, suka lihat pada parti untuk bagi sokongan.

“Islam sebenarnya berdasarkan kepada ilmuan dan kefahaman Islam itu sendiri bukan kepada parti semata-mata.

“Khususnya kepada orang yang diamanahkan memegang sesuatu jawatan itu, perlu beriman dalam melaksanakana tanggungjawab mereka. 

“Ada orang beriman tapi tak beramal. Apabila ada orang yang mahu dan komited untuk berdakwah seperti Haron Din misalnya, menunjukkan komitednya beliau terhadap kerja dakwah, walaupun beliau ahli Pas, kita tidak sepatutnya menjadikan pelantikannya ebagai satu kesilapan atau kesalahan kepada parti pula.

“Jika keadaan itu berterusan tidak selesailah masalah umat islam kerana sesama kita sendiri bercakaran bagaimana untuk dicontohi oleh orang bukan Islam dan negara Islam lain,” ujar Harussani memberikan pandangan.

Sebelum ini bekas naib presiden Pas, Datuk Husam Musa berpendapat perlantikan Haron mempengerusi Kluster Dakwah MPI itu satu penghinaan kepada Pas dari segi protokolnya kerana pemimpin tertingginya duduk di bawah badan yang dipengerusikan timbalan presiden Umno. Sehubungan itu beliau meminta Pas mengkaji balik kewajaran penerimaannya.Namun pemimpin Pas menyifatkan ia satu penghormatan bukan satu penghinaan.

Dalam perkembangan lain pendakwah terkenal, Datuk Kazim Elias juga membidas sikap sesetengah ahli politik yang mempertikaikan pelantikan Datuk Haron Din di dalam MPI.

“Lantik salah tidak lantik pun salah. Apalah hendak jadi dengan orang politik ini. Tidak habis-habis hendak tengok sesuatu perkara hanya daripada sudut politik. Bukalah minda dan mata luas-luas, jangan sempitkan minda saudara,” ujarnya dalam satu kenyataan Sabtu lalu.

Menurut Kazim, ahli jawatakuasa MPI tanpa mengira fahaman politik diberi peluang untuk memberi cadangan malah teguran kepada pemerintah.

Ini satu sifat terbuka Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sepatutnya digunakan sebaik mungkin, katanya.

 

TAGS