Satu penyamun, satu lagi mahu berkawan dengan penyamun, bidas Tamrin

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Menganggap penyatuan antara Umno dan PAS sebagai “satu penyamun dan satu lagi bersungguh-sungguh nak berkawan dengan penyamun”, bekas veteran Umno yakin ahli PAS akan menolak presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sama seperti ahli Umno menolak Datuk Seri Mohd  Najib Razak.

“Masanya akan tiba ahli-ahli akar umbi PAS akan tolak Hadi seperti juga ahli-ahli Umno akan tolak Najib,” tegas Tamrin Tun Ghafar yang juga pernah menjadi ahli PAS itu.

Menurutnya, kedua-dua presiden parti politik Melayu itu dilihat memiliki persamaan sikap apabila dilihat menyalahgunakan konsep ketaatan kepada pemimpin.

“Najib bercakap tentang loyalty (setia pada pemimpin), Hadi bercakap tentang wala’ (setia pada pemimpin). Bezanya satu guna bahasa Melayu, satu lagi guna bahasa Arab. Satu penyamun dan satu lagi bersungguh-sungguh nak berkawan dengan penyamun,” bidas bekas Ahli Parlimen BN Batu Berendam itu.

Bibit-bibit kepada kerjasama Umno-PAS itu dilihat semakin ketara ketika Najib dan Hadi mesra duduk sepentas pada persidangan Multaqa Serantau Al-Azhar Malaysia minggu lalu serta terbaharu reaksi Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang menyatakan partinya bersedia untuk memaafkan dan melupakan kesalahan Umno.

Menurut Tamrin yang juga bekas ahli Umno kira-kira 40 tahun itu, berkemungkinan besar Hadi dan Najib tidak memahami isi kandungan al-Quran dan Hadis

“Seolah-olah mereka (ahli Umno dan PAS) akan terus ‘membabi buta’ dan seperti ‘lembu dicucuk hidung’, akur apa sahaja pemimpin mereka kata.

“Allah dah beri amaran jangan sesekali bersekongkol dengan mereka yang cuba menutup kejahatan mereka dengan menggunakan ayat-ayat al-Quraan dan Hadis,” ujarnya dalam kenyataan beliau hari ini.

Mengulas lanjut reaksi ahli PAS berhubung perpaduan dengan Umno itu, Tamrin menyifatkan kewujudan suara dalam PAS yang tidak menyenangi tindakan Presiden parti Islam itu turut sama seperti reaksi ahli Umno terhadap Najib.

Mengakui bersimpati dengan beberapa pemimpin PAS yang dilihat menolak untuk ‘berkawan dengan penyamun’ beliau mendoakan semoga Allah memberikan mereka terbabit kekuatan memandangkan, ujarnya, kita semua tidak akan terlepas menghadapi Dia Yang Maha Pencipta.

Dalam hal berkaitan, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dilaporkan cukup positif dengan penyatuan dua parti terbesar di negara ini kerana baginya penyatuan antara umat Islam khususnya pemimpin merupakan tuntutan dalam ajaran Islam yang perlu diberi keutamaan.

“Perpaduan ini tidak akan wujud apabila pihak bertikai berbeza pendapat tidak mahu tunduk pada ketentuan syariat Islam,” ujar Shukri lagi.

TAGS