Malaysia Dateline

Satu persatu bukti terdedah pemimpin Pas bohongi ahlinya

Para penyokong Pas diminta memikirkan kembali kedudukan mereka berikutan terbukti kini pemimpin mereka tidak bercakap benar dalam isu kerjasama mereka dengan Umno.

Pengarah Komunikasi AMANAH, yang juga bekas pemimpin Pas berkata, kalau dahulu pemimpin Pas sentiasa menafikan tidak akan ada hubungan parti itu dengan Umno sehingga kiamat kini terbukti ia hanya pembohongan semata-mata.

“Dahulu kami yang kata ada pemimpin yang mahu menyatukan Pas dengan Umno diberikan pelbagai gelaran, Anwarinaslah, jebon, parasit, liberal dan sebagainya ketika mereka mempertahankan tidak ada usaha kerjasama dengan Umno.

“Sekarang, pemimpin Pas berebut-rebut menuntut kredit hasil kerjasama itu dengan mendedahkan merekalah yang melakukan usaha itu sehingga kerjasama antara Pas dengan Umno menjadi kenyataan sekarang,” kata Ahli Parlimen Shah Alam itu melalui siri Bicara YB Khalid yang disiarkan secara langsung melalui TV Internet, Jom Channel malam tadi.

Khalid merujuk kepada pengakuan Setiauasa Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang mengaku kepada ahli Pas di Kota Bharu bahawa beliau telah terlibat dengan usaha kerjasama itu sejak tahun 2015 lagi.

Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Zuhdi Marzuki pula berkata, beliau telah terlibat dengan usaha untuk membentuk kerjasama itu sejak tahun 2011 lagi, dua tahun lebih selepas Pas menyertai kerajaan di Selangor.

Menurut Khalid, antara punca perpecahan dalam Pas sehingga lahirnya AMANAH adalah kerana perbezaan pendapat tentang isu kerjasama dengan Umno.

“Saya dan rakan-rakan tidak setuju dengan kerjasama ini. Kalau mahu kerjasama perlu diadakan muktamar khas sebagaimana yang dicadangkan oleh Mursyidul Am, Tok Guru Nik Aziz.

“Tetapi pemimpin Pas ketika itu menafikan usaha kerjasama itu. Ia hanya dibuat dalam gelap. Lepas Tok Guru Nik Aziz mati barulah mereka berani lebih terbuka kerana takut Tok Guru menentangnya ketika beliau ada,” kata Khalid.

Menurut beliau, kekecohan berlaku dalam Pas pada tahun 2014 apabila terdedah perbincangan dalam kumpulan whatapps pimpinan Pas tentang cadangan Dr Zuhdi agar Pas bekerjasama dengan Umno di Selangor ketika itu.

“Ketika itu Zuhdi kata, kita boleh jentik je orang bukan Islam khasnya Kristian jika mereka mahu melawan lagi,” kata Khalid dalam program mingguan beliau itu.

Pas berpecah melalui muktamarnya pada tahun 2015 apabila kumpulan yang menentang kerjasama dengan Umno disingkir secara besar-besaran lalu terbentuklah AMANAH selepas itu.

Ketika ditanya, kenapa mereka menentang usaha kerjasama itu, Khalid berkata, isu utama adalah tidak telus kerana ia dinafikan dan pemimpin berkenaan tidak berterus terang atau menipu ahli.

“Sebab itu kita menuntut diadakan muktamar khas bagi membincangkan perkara ini sebagaimana juga yang dituntut Tok Guru Nik Aziz,” jelas beliau.