Malaysia Dateline

Satu persatu jawatankuasa surau di Johor meninggal akibat Covid-19

Tiga ahli jawatankuasa Surau Al Jauhar di Taman Impian Emas, Skudai di Johor meninggal dunia akibat Covid-19 selepas surau itu difahamkan ditutup pada 24 April lalu.

Imam, Allahyarham Ustaz Haji Muhammad Nazirul Jamaludin, 32, mendahului senarai dijemput Ilahi kira-kira jam 8 pagi pada 28 April lalu bersamaan 16 Ramadan.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Impian Emas kira-kira jam 3.30 petang pada hari yang sama.

Selang tiga hari kemudian, bilal Allahyarham Rosli Mohamad dan pengerusi surau itu, Allahyarham Haji Samad pula menghembuskan nafas terakhir.

Sementara itu, setiausaha surau tersebut yang sebelum ini juga tular kononnya sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) tampil membuat penjelasan jam 11.48 pagi tadi.

“Keadaan saya masih sihat walafiat. Apa yang ditularkan di kumpulan WhatsApp mengatakan saya di ICU adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam kenyataan ringkas menerusi rakaman video.

Walau bagaimanapun, laporan CPRC Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat 1 Mei memaklumkan tiada kes pesakit di ICU dan kematian dalam Kluster Jalan Impian Emas 17.

Mengikut data tersebut, 37 kes positif Covid-19 direkodkan dalam kluster terbabit dengan tiga kes baharu dikesan semalam manakala 192 individu telah disaring.

Semalam, Johor mencatatkan 310 kes Covid-19 dengan 212 kes merupakan kes tempatan.

Daerah Johor Bahru mencatatkan kes tertinggi sebanyak 87 kes dengan mukim Bandar merekodkan 38 kes diikuti Plentong (21), Tebrau (16), Pulai (10) manakala Sungai Tiram dan Tanjung Kupang masing-masing satu kes.