Malaysia Dateline

Satu-satunya hal baik dalam Kabinet Ismail ialah melantik Khairy sebagai menteri kesihatan

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, satu-satunya perkara baik yang berlaku dalam pembentukan Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah pelantikan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan.

Beliau memuji kecekapan kerja Khairy apabila pada semalam kes harian Covid-19 berjaya diturunkan di paras bawah 14,000 kes.

“Biar saya berlaku jujur. Satu-satunya berita baik dalam peristiwa pembentukan Kabinet Perdana Menteri, adalah pelantikan Khairy Jamaluddin.

“Semua rakyat Malaysia mahu dan mengharapkan Khairy berjaya dalam mengemudi perang melawan Covid-19 yang mengancam negara.

“Dan saya tidak segan untuk mengakui bahawa saya adalah seorang daripadanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata, beliau akan terus melontarkan pandangan dan kritikan terhadap Khairy dalam usahanya untuk memerangi Covid-19.

Menurutnya, ini dilakukan bukan kerana mahu Ahli Parlimen Rembau itu tersungkur gagal, tetapi sebaliknya untuk melihat beliau berjaya.

“Sekarang Khairy perlu bekerja lebih keras untuk menurunkan angka kes harian ke paras bawah 4,000 seperti empat bulan lalu dan yang mana sepatutnya menjadi salah satu daripada tiga syarat untuk beralih dari Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara seperti diumumkan Perdana Menteri terdahulu pada 15 Jun 2021,” ujarnya.