Satu sekolah huru-hara, 250 pelajar histeria serentak lepas nampak lembaga hitam

Oleh WAN SITI AMINAH

Keadaan di sebuah sekolah menengah menjadi huru-hara selepas ratusan pelajar dilaporkan mengalami histeria secara serentak, baru-baru ini.

Sangat mengerikan, kejadian yang berlaku pada pagi Jumaat, 15 September lalu itu melibatkan seramai 250 orang pelajar dan majoriti mangsa adalah perempuan.

Insiden tersebut dipercayai terjadi ketika para pelajar sedang melakukan upacara keagamaan sebelum salah seorang daripada mereka mula berkelakuan pelik.

Pelajar tersebut dikatakan tiba-tiba menggigil kemudian pengsan dan keadaan mula berubah menjadi panik apabila seorang demi seorang murid turut ‘dijangkiti’ histeria.

Para guru yang bertugas juga dikatakan tidak berhasil menenangkan ratusan pelajar mereka sehingga persekitaran sekolah menjadi kacau-bilau dan tidak terkawal.

Bayangkan, secara keseluruhannya seramai 135 orang pelajar telah dikejarkan ke pusat perubatan di mana dua daripadanya perlu ditahan untuk menerima rawatan lanjut.

Selebihnya pula dibenarkan pulang oleh pakar perubatan manakala sesi pembelajaran pada hari kejadian pula dibatalkan dengan segera oleh pihak sekolah.

Memetik laporan CNN Philippines, kejadian tersebut berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan San Jose (SJNHS) yang terletak di Talibon, Bohol, Filipina.

Tular di media sosial, insiden histeria besar-besaran itu juga sempat dirakam dan dikongsi menerusi hantaran video yang dimuat naik di platform TikTok.

Saksi kejadian mendakwa bahawa para mangsa memaklumkan ada lembaga hitam yang cuba merasuki mereka dan badan pelajar mula terasa berat tidak lama selepas itu.

Rakaman tersebut memaparkan suasana dewan sekolah yang huru-hara dan ramai pelajar diletakkan di atas kerusi plastik dalam usaha untuk menenangkan mereka.

Beberapa orang pelajar juga kelihatan cukup lemah dan mengalami kesukaran untuk bernafas dengan tenang sehingga terpaksa dikipaskan oleh orang ramai.

Tampil memberi penjelasan, Ketua Pengarah Hospital Garcia Memorial Provincial Filipina, Dr Miguelito Jayoma berkata kejadian itu dinamakan sebagai Mass Hysteria.

Menurut Jayoma, kejadian Mass Hysteria ini sebenarnya sangat mudah terjadi terutamanya kepada para remaja yang mengalami masalah keresahan atau anxiety.

Baca juga: Keterangan saksi sudah diambil, polis mulakan siasatan terhadap Ebit Lew