Malaysia Dateline

“Satu sekolah sahaja terima komputer riba di Parlimen JB, itupun belum dapat”

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir, mendedahkan hanya satu sekolah sahaja di Parlimen itu yang menerima peruntukan komputer riba percuma yang dijanjikan kerajaan dalam Belanjawan 2021.

Menurut surat yang dilampirkannya di Facebook, hanya 71 buah komputer riba yang diperuntukkan kepada sekolah Menengah Kebangsaan Taman Pelangi dengan status agihan ‘akan diagih’.

“Kemanakah 150,000 laptop pergi? Ini janji yang dibentangkan dalam belanjawan sejak tahun lepas lagi.

“Hari ini barulah saya dapat maklum balas daripada Menteri Pendidikan, rupanya hanya sebuah sekolah dalam Parlimen Johor Bahru yang terima pemberian laptop.

“Itupun masih belum dapat!,” selarnya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Pada Belanjawan 2021, KPM memberi jaminan akan mengagihkan 150,000 komputer riba percuma kepada murid B40, di bawah inisiatif Tabung Cerdik (CERDIK).

Bagaimanapun pengagihan komputer terus dibangkitkan Ahli-ahli Parlimen kerana masih ramai murid sekolah tidak menerima bantuan tersebut.

Pada awal Oktober lalu, Ahli Parlimen Segambut melalui ciapannya di Twitter, turut meluahkan rasa sedih dan terkejut dengan jumlah komputer riba yang diterima di Parlimennya.

Melalui gambar yang dikongsi, hanya dua buah sekolah sahaja yang menerima bantuan tersebut dengan jumlah 60 buah komputer riba.