Satu tapak baharu akan diumum gantikan bazar di Masjid India

Satu tapak baharu akan diumum gantikan bazar di Masjid India

Satu tapak baharu yang lebih baik untuk menggantikan tapak bazar di Masjid India akan diumumkan nanti, kata Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad.

“Program bazar Deepavali di Masjid India merupakan bazar terakhir di situ pada tahun ini kerana kita perlu mengutamakan projek pembangunan di situ dahulu.

Tetapi kita akan sediakan tapak alternatif baharu yang lebih baik dan cantik untuk peniaga bazar dan orang ramai yang kita akan umumkan nanti,” katanya ketika merasmikan program Fiesta Deepavali di Little India, Brickfields, semalam, lapor Bernama.

Program itu dianjurkan Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pusat Aduan Rakyat Malaysia (PAR) yang bermula semalam sehingga 5 November depan dengan pelbagai program termasuk bazar perniagaan disediakan untuk pengunjung.

Mengulas Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini, beliau berkata; “pujian harus diberikan kepada pasukan Kementerian Kewangan pimpinan Lim Guan Eng kerana bajet kali ini banyak membantu golongan B40 dan miskin, pada mulanya kita risau juga sebab fikir awal-awal mungkin banyak potongan bajet (kerana hutang negara yang banyak) tetapi rupanya tiada”.

Turut hadir sama ke majlis itu adalah Anggota Parlimen Batu P. Prabakaran dan Presiden PAR Datuk Chandrakumanar Arumugam.

Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan sumbangan bantuan berupa barangan keperluan 100 orang daripada golongan miskin, anak-anak yatim dan orang tua di kawasan Brickfields.

COMMENTS