Satukan ahli demi kekuatan kerajaan, Pakatan Harapan

Satukan ahli demi kekuatan kerajaan, Pakatan Harapan

Kerjasama yang erat dan padu dikalangan ahli parti PKR akan memberi impak yang positif pada kacamata rakyat.

Malah rakyat diluar akan memberi persepsi yang negatif bukan saja kepada PKR tetapi juga kepada Pakatan Harapan (PH) sekiranya apa yang dipertontonkan adalah prejudis yang berpanjangan.

Demikian dizahirkan oleh Pengarah Strategi PKR Cabang Ampang, Mohd Zamry Sulaiman ketika ditemui.

Mohd Zamry Sulaiman

Jelasnya, rakyat diluar akan nampak seperti wujudnya perpecahan, namun begitu ianya tidak seperti apa yang diperlihatkan.

“Rakyat diluar nampak ia seolah-olah ada perpecahan, tetapi sebenarnya ia adalah lumrah dan perkara biasa dalam mana-mana parti politik.

“Ia juga dilihat oleh rakyat seperti polemik politik antara dua pihak.

“Oleh kerana itu kerjasama yang amat baik diperlukan bagi memperelokkan apa yang sedang dipertontonkan kepada rakyat, ” ujarnya lagi.

Malah tegasnya, semua pihak harus mempertingkatkan lagi keakraban dan hubungan dan bukannya mencari maupun menimbulkan perbalahan dan konflik.

Sehubungan itu tambahnya, sayangkan kepada negara mesti diberi prioriti oleh semua pihak bagi memastikan aspsirasi rakyat yang memberi mandat dalam pilihan raya umum yang lalu dapat direalisasikan

“Yang berpolitik seharusnya kurangkan berpolitik dan memberi keutamaan kepada memperjuangkan nasib rakyat.

“Saranan Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin baru-baru ini supaya usaha menyatukan semula ahli dan parti harus diberi keutamaan oleh semua pihak.

“Sejajar dengan itu ia juga dapat membantu kerajaan PH meneruskan segala perancangan untuk kepentingan rakyat tanpa adanya konflik dan polemik politik yang akan merencatkan segala rencana, ” katanya lagi.

Beliau juga berkata pembelaan terhadap nasib rakyat mesti diberi keutamaan oleh semua pihak daripada kepentingan peribadi bagi membuktikan bahawa PH adalah sebuah parti yang mempunyai kredibiliti dan mendapat dokongan majoriti rakyat.