Malaysia Dateline

#SaveRayan sohor di Twitter, kanak-kanak terjatuh dalam perigi sempit masih giat diselamatkan

Setakat jam 2 petang ini, tanda pagar #SaveRayan masih lagi sohor di Twitter dengan 32,700 Tweet selepas kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu dilapor terjatuh ke dalam perigi sempit sedalam 32 meter di wilayah Chefchaoen, utara Maghribi.

Pihak berkuasa dibantu dengan mesin jentolak telah memenuhi kawasan tersebut selepas Rayan terjatuh sejak Selasa lalu.

Budak itu bagaimanapun dilaporkan berada dalam keadaan sedar selepas pihak berkuasa meletakkan kamera bagi melihat situasi kanak-kanak lelaki itu.

Menurut tulisan pengguna Facebook Mohd Aznam Abdul Rahman, pada 1 Feb yang lalu, Rayan mengikuti bapanya untuk membaik pulih sebuah perigi kering berdekatan rumahnya.

Pada ketika bapanya sedang sibuk, Rayan berkemungkinan bermain-main di sekitar perigi tersebut dan setelah beberapa ketika baru bapanya mula sedar, anaknya Rayan hilang.

Setelah puas mencari, baru tersedar yang anaknya telah terjatuh ke dalam perigi kering itu. Bapa Rayan kemudiannya meminta penduduk kampung datang membantu tetapi terdapat masalah kerana Rayan terjatuh di kedalaman melebihi 30 meter.

Walaubagaimanapun, pihak penyelamat telah mengesahkan bahawa Rayan masih hidup di bawah sana. Corong oksigen, lampu, air minuman dan makanan serta kamera telah dihulurkan ke bawah.

Difahamkan, kini tinggal hanya beberapa meter sahaja lagi penggalian dari sisi dan akan sampai ke tempat di mana Rayan berada.