Sawit, getah berpotensi jana keuntungan negeri Johor, kata Mahathir

Sawit, getah berpotensi jana keuntungan negeri Johor, kata Mahathir
(kiri) Datuk Osman Sapian dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat, Johor adalah negeri yang strategik dan berpotensi menjana keuntungan dalam negeri hasil kewujudan ladang kelapa sawit dan pokok getah di negeri itu.

Beliau berkata, negeri yang berada paling hujung di selatan tanah air itu, mempunyai tanah subur yang berpotensi menghasilkan rencam tanaman.

Mahathir berkata, kedudukan Johor yang bersebelahan dengan Singapura mampu menjadi ‘tarikan’ kepada negara jiran untuk datang membeli barangan di negeri berkenaan.

“Apabila penduduk negara jiran (Singapura) datang ke Johor, ia mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di negeri itu sendiri.

“Johor adalah negeri kedua terkaya selepas Selangor, kerana bersebelahan dengan Singapura. Kita boleh menjadikan negara jiran tersebut sebagai bandar bandingan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Sesi Pemukiman Kerajaan Negeri Johor, di Hotel Pulse Grande, Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.

Perdana Menteri menambah, walaupun pemukiman ini dihadiri pelbagai latar belakang parti politik di bawah kerajaan Pakatan Harapan, namun matlamatnya hanya satu, iaitu membangunkan negara.