Malaysia Dateline

Saya ada hak untuk koyak gambar jelik itu, kata Lokman Adam

Pertemuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang dikatakan bakal berlangsung di Masjid Ar-Rahman, UM, tengah hari tadi telah bertukar lokasi.

Pertemuan hampir dua jam itu diadakan di tingkat atas Restoran Amjal, kira-kira satu kilometer dari pintu utama UM menghala ke Bangsar.

Tinjauan Malaysia Dateline mendapati, terdapat kira-kira 40 orang menghadiri sesi pertemuan itu, yang bermula kira-kira jam 2.30 petang dan kebanyakannya adalah pelajar.

Namun, ketika pertemuan itu berlangsung, kira-kira jam 3.10 petang, sekumpulan pelajar dipercayai dari UM telah berarak membawa karikatur Najib berunsur jenaka dan kertas yang bertulis ‘Mana RM2.6 bilion?’, ‘Tangkap Najib’ dan ‘Najib Tak Malu’ sekali gus menimbulkan kekecohan.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menjelaskan, perbuatan itu adalah untuk mengeji Najib.

“Nak letak gambar Mahathir ke Lim Guan Eng ke tidak apa, tapi ini gambar Najib, program Najib. Saya ada hak untuk mengoyak gambar yang jelik itu.

“Kita tak jangka benda macam ini akan berlaku. Macam di Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, mereka melakukan perkara yang sama terhadap Datin Seri Rosmah Mansor. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) minta mereka turunkan. Bila kesalahan berlaku, tak perlu tolak ansur, turunkan terus poster itu.

“Saya koyakkan satu sahaja, iaitu gambar Najib bos saya. Sebab itulah saya sentuh (koyak gambar) Kalau Mahathir atau Lim Guan Eng saya tak sentuh,” katanya.

Penganjur Program Sembang Santai Mahasiswa UM, Muhammad Saiful Husaini Syafie, 22, pula menyifatkan provokasi itu adalah satu tindakan untuk mendapatkan publisiti murahan.

“Mereka datang secara mengejut, waktu itu saya sedang bersama Datuk Seri Najib.. tiba-tiba mereka menjerit di bawah.. Kita juga ada buka ruang untuk mereka naik ke ats (tempat pertemuan), tapi mereka pilih untuk membuat kecoh di jalanan.

“Kami tak pernah kacau program mereka.. kenapa mereka perlu datang kacau kami? Lagi pun kita buat aktivti di luar kampus,” katanya.

Terdahulu, dalam hantaran Facebook Najib mengenai program sembang santai di masjid UM, beliau memaklumkan mungkin ada hikmah selepas ada yang cuba memberi gambaran buruk, kononnya beliau akan menggunakan masjid bagi program tersebut.

“Saya tak pasti pihak mana yang mengeluarkan grafik ini bahawa saya akan bersembang santai di dalam masjid. Saya memang ada rancangan untuk solat Jumaat di Masjid berkenaan tengah hari esok (hari ini).

“Tetapi memang tidak ada dalam perancangan kita untuk mengadakan sesi sembang santai di dalam masjid,” katanya menerusi hantaran itu.